oleh: Mohd Faudzi Umar
Tanjong Malim, 28 April 2025 – Seramai 124 pelajar dan 8 orang guru Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS) menyertai Bengkel Pemantapan Konsep Fizik anjuran Jabatan Fizik, Fakulti Sains dan Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Pensyarah, penolong pegawai sains dan mahasiswa fizik terlibat dalam bengkel ini, menggunakan empat makmal pengajaran di Blok 4, UPSI Kampus Sultan Azlan Shah.
Bengkel ini bertujuan memantapakan kefahaman dan konsep asas fizik pelajar SMSS melalui amali fizik yang selaras dengan kehendak Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).
Hal ini adalah sangat relevan kerana bermula 2021 ujian amali sains adalah diwajibkan kepada calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bengkel ini memberi fokus kepada amali wajib fizik sebagai persediaan kepada pelajar bagi menghadapi peperiksaan SPM nanti.
Di samping kepada pelajar SMSS, bengkel ini turut bermanfaat kepada 40 mahasiswa fizik yang bertindak sebagai fasilitator bagi memantapkan kemahiran menguruskan amali sebagai persediaan menjadi pendidik yang kompeten pada masa akan datang.
Bengkel ini mensasarkan beberapa topik terpilih iaitu mekanik, optik, gelombang dan elektrik yang dijalankan dalam empat sesi berasingan pada sebelah pagi dan petang.
Pelajar perlu menjalankan amali di setiap sesi dan melaporkan hasil dapatan pada akhir sesi dibantu oleh fasilitator, dan dipantau oleh pensyara-pensyarah Jabatan Fizik. Penglibatan aktif pelajar menunjukkan keseronokan dan minat yang tinggi terhadap pendekatan pembelajaran berbentuk amali ini.
Pada akhir bengkel ini, pelajar-pelajar memberikan refleksi sepanjang bengkel ini, di mana mereka berpuas hati bahkan bersemangat bagi menghadapi peperiksaan tak lama lagi.
Hal ini turut diakui oleh guru fizik SMSS iaitu Puan Haizura binti Hasran, “Semoga bengkel ini dapat membantu pelajar SMSS dalam mencapai keputusan cemerlang”. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada UPSI atas penganjuran bengkel tersebut.



Sementara itu, Dekan Fakulti Sains dan Matematik, Prof. Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah ketika dihubungi menyatakan harapan agar bengkel ini memberikan pengalaman bermakna serta membina keyakinan pelajar dalam menghadapi peperiksaan akan datang.
Bengkel ini secara tidak langsung dapat memperkukuhkan hubungan antara komuniti sekolah dan UPSI dalam pembangunan modal insan yang berdaya saing.
Selaras dengan inisiatif BITARA UPSI 2.0 yang diperkenalkan oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, dalam usaha menjadikan UPSI sebagai universiti peneraju kebitaraan dalam pendidikan di Malaysia dan peringkat global.
