Oleh: Ajeeb Ishak

Tanjong Malim, 15 Mei 2025 – Sebuah program yang mengangkat nama Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Awang Had Salleh iaitu program Diskusi Karya Awang Had Salleh ini merupakan program yang julung-julung kalinya dianjurkan oleh Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh (KAHS).

KAHS berpeluang untuk menjayakan program Diskusi Karya Awang Had Salleh yang telah berlangsung dengan jayanya pada 15 Mei 2025 di Auditorium Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI.

Program ini telah membuka ruang kepada para peserta untuk lebih mengenali dan memahami pemikiran serta sumbangan besar Awang Had Salleh dalam dunia pendidikan dan bahasa Melayu.

Diskusi ini menampilkan beberapa ahli panel daripada kalangan pensyarah UPSI dengan membincangkan karya-karya beliau seperti novel Biru Warna yang dibicarakan oleh Prof. Madya Dr. Ariff Mohamad.Novel drama Buat Menyapu Si Air Mata dikupas oleh Dr. Hasrina Baharum.

Manakala buku Pelajaran dan Perguruan Melayu di Malaysia diulas oleh Dr. Raja Ahmad Shalaby Raja Hassan. Awang Had Salleh menekankan keseimbangan antara akal dan nilai dalam proses pendidikan. Beliau juga amat menekankan pembinaan jati diri bangsa menerusi bahasa dan budaya sendiri.

Sesuai dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris yang sememangnya mengangkat pendidikan sebagai sebuah pentas untuk melahirkan masyarakat yang mempunyai ciri keperibadian yang unggul.

Selain itu, peserta amat tersentuh dengan pendedahan beliau bahawa ilmulah yang memanusiakan manusia. Tanpa ilmu, mungkin manusia akan menjadi alat ekonomi semata-mata. Pendidikan harus membina insan yang seimbang dari segi intelek, akhlak dan spiritual.

Gaya bahasa beliau yang padat dengan makna dan bersifat reflektif membuatkan pembacaan karya-karyanya bukan sahaja memberi ilmu, malah menggerakkan jiwa seseorang.

Hasrina Baharum turut berkongsi tentang pengalamannya dalam membaca novel drama Buat Menyapu si Air Mata berkata bahawa penulisan Awang Had Salleh banyak menggunakan gaya bahasa yang cukup indah. Katanya, “tudung periuk pandai menari, memberikan simbol bahawa nasi yang telah masak akan menyebabkan tudung periuk menggelegak”.

Terdapat rezeki di dalamnya, tetapi kita tak pandai untuk menjaganya sehinggakan nasib bangsa kita tergadai akibat daripada amanah yang dipegang tidak dapat dijalankan dengan telus dan Ikhlas. Oleh itu, “kain yang buruk itu berikan kami buat menyapu si air mata.”

Simbol kesedihan hasil daripada pembangunan yang tidak telus. Tidak hairanlah mengapa Awang Had Salleh merupakan tokoh yang perlu diingati sampai bila-bila hasil daripada pemikirannya yang memberikan inspirasi buat semua orang.

Program ini telah memberikan motivasi kepada pembaca untuk terus membaca dan mengkaji karya-karya tokoh ilmuwan negara, khususnya Awang Had Salleh.

Kita berharap agar lebih banyak program seperti ini dianjurkan supaya generasi muda tidak melupakan jasa dan pemikiran tokoh-tokoh terdahulu yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan ilmu di tanah air.

Program ini bukan sahaja memperkaya pengetahuan kita tentang karya Awang Had Salleh, malah membina semangat cinta akan ilmu, bahasa dan bangsa. Semoga legasi beliau terus hidup dan menjadi sumber inspirasi kepada kita semua, Insya-Allah.