Oleh: Fakhruddin Faris Nazri

Tanjong Malim, 15 Oktober 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi memperkukuh peranannya sebagai Peneraju Kebitaraan Pendidikan dan kesejahteraan pelajar dengan penganjuran Advokasi Kesihatan Mental Siri 3: Kemahiran Menolong untuk Kepimpinan Pelajar, bersempena Pesta Konvokesyen (PESKON) ke-27.

Program anjuran Pusat Kaunseling UPSI ini menghimpunkan 135 pelajar yang terdiri daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Majlis Mahasiswa Kolej (MMK), serta pemimpin pelajar dari persatuan pelajar dalam usaha membangunkan kepimpinan berteraskan empati, komunikasi berkesan dan sokongan psikologi asas.

Menurut Dr Pau Kee, Pengarah Pusat Kaunseling, program ini dirangka sebagai satu platform menyeluruh yang membantu pemimpin pelajar menghayati kemahiran menolong sebagai keupayaan penting dalam kepimpinan abad ke-21. Dalam suasana universiti yang semakin dinamik dan mencabar, pemimpin pelajar bukan sahaja berfungsi sebagai wakil suara pelajar, malah menjadi barisan hadapan dalam memberi sokongan emosi dan sosial kepada rakan sebaya.

“Pelajar hari ini berdepan tekanan akademik yang tinggi, cabaran peribadi, konflik interpersonal dan isu kesejahteraan mental. Dengan kemahiran menolong, pemimpin pelajar mampu menjadi jambatan yang menyokong pelajar lain untuk mendapatkan bantuan yang sewajarnya,” jelas Dr Pau Kee

Program ini disusun secara interaktif dengan dimulakan melalui sesi perkongsian mengenai kesihatan mental dan pelbagai jenis kecelaruan psikologi yang sering dialami pelajar universiti, termasuk kemurungan, kebimbangan, skizofrenia dan bipolar. Peserta turut menjalani sesi simulasi “helping skills” yang memberi pengalaman praktikal menolong rakan yang berdepan isu kesihatan mental, di mana mereka dilatih menggunakan komunikasi empati, mengenal pasti tanda amaran serta memberikan sokongan awal sebelum merujuk kepada profesional. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran, malah memperkukuh keupayaan kepimpinan pelajar untuk menjadi rakan penyokong yang lebih peka, sensitif dan bertanggungjawab dalam komuniti kampus.

Aktiviti seumpama ini bukan sahaja memberi pendedahan praktikal kepada pelajar tentang strategi sokongan emosi, malah membina keyakinan, keupayaan mendengar secara aktif dan kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran penting yang diperlukan dalam dunia pekerjaan dan kehidupan seharian.

Pihak universiti menyatakan komitmen berterusan untuk memperluas program seumpama ini sebagai sebahagian daripada agenda kesejahteraan kampus dan selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 3: Kesihatan dan Kesejahteraan, serta SDG 4: Pendidikan Berkualiti.

Program ini diakhiri dengan sesi penutup dan bergambar, simbolik kepada usaha berterusan UPSI dalam memupuk budaya kepimpinan pelajar yang berempati, responsif dan berdaya saing. Dengan sokongan kuat daripada pelbagai pusat tanggungjawab termasuk Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, kolej kediaman dan unit kediaman luar kolej program “Kemahiran Menolong” ini dijangka menjadi salah satu inisiatif terpenting dalam menjadikan UPSI sebuah kampus yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga prihatin terhadap kesejahteraan komuniti pelajarnya.