Oleh: Dr. Wan Nurul Huda Wan Ab Kadir
Telok Panglima Garang, 17 Disember 2025– Projek Santun Masyarakat menerusi Program SCIXPLORE@Maahad Tahfiz menjadi platform khidmat komuniti yang digerakkan oleh bakal guru Sains Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi memperkukuh hubungan institusi pendidikan tinggi dengan komuniti setempat, khususnya pelajar Maahad Tahfiz.
Program yang dirangka berasaskan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) itu bertujuan menyemai minat terhadap Sains melalui aktiviti interaktif, kontekstual dan menyeronokkan. Selari dengan aspirasi pendidikan negara, penganjuran program ini turut menekankan pembangunan sahsiah, nilai murni dan kepekaan sosial dalam kalangan bakal guru, di samping mengaplikasikan pengetahuan pedagogi Sains secara praktikal di luar bilik darjah.
Program ini dilaksanakan oleh pelajar UPSI Kohort Pendidikan Guru (KPG) AT11 dan AT16 dengan bimbingan pensyarah kursus Insan Guru Profesional, sekali gus memberi pendedahan langsung kepada pelajar tentang peranan guru sebagai agen pemerkasaan masyarakat.
Antara aktiviti utama yang dijalankan ialah Hygiene Care, yang dilaksanakan secara tersusun dan berperingkat bagi memastikan peserta memperoleh pemahaman menyeluruh tentang kebersihan diri. Aktiviti bermula dengan pengisian pra soal selidik bagi mengenal pasti tahap pengetahuan sedia ada peserta, diikuti penerangan mudah difahami berkaitan konsep Hygiene Care, amalan kebersihan diri dan kepentingannya dalam pencegahan penyakit. Kefahaman peserta diperkukuh melalui aktiviti interaktif menggunakan booklet, selain aktiviti amali DIY Hand Sanitizer yang memberi pendedahan secara langsung tentang penghasilan produk kebersihan secara ringkas dan selamat. Keberkesanan pengisian dinilai menerusi pasca soal selidik.

Selain itu, Water Filtration Station yang dikendalikan oleh Kumpulan 2 memperkenalkan pelajar kepada konsep penapisan dan penyulingan air secara praktikal. Aktiviti dimulakan dengan penerangan tentang kepentingan air bersih serta ciri-ciri air selamat diminum, sebelum pelajar diberi situasi simulasi berkaitan gangguan bekalan air bersih. Dengan bimbingan fasilitator, pelajar digalakkan mencari penyelesaian saintifik melalui kaedah penapisan air menggunakan bahan yang sesuai. Pada akhir sesi, konsep penapisan dan penyulingan dihuraikan secara lebih terperinci, di samping penerapan nilai kesyukuran dan tanggungjawab dalam menghargai sumber air.

Program ini turut menampilkan Eksperimen Gunung Berapi dan Projek Aiskrim DIY sebagai aktiviti pembelajaran Sains berasaskan pengalaman. Eksperimen Gunung Berapi memperkenalkan konsep asid dan bes serta tindak balas kimia apabila cuka bertindak balas dengan soda bikarbonat, menghasilkan gas karbon dioksida (CO₂) yang menyebabkan pembentukan buih menyerupai letusan gunung berapi. Sementara itu, Projek Aiskrim DIY memberi pendedahan kepada konsep perpindahan haba, takat beku dan perubahan keadaan jirim melalui proses penyejukan campuran susu menggunakan ais dan garam kasar. Kedua-dua aktiviti ini membantu peserta memahami konsep Sains secara konkrit, selain merangsang minat dan rasa ingin tahu.

Aktiviti HydraHero Jom Kekal Sihat pula memberi fokus kepada kesedaran tentang kepentingan hidrasi. Program dimulakan dengan penerangan teori mengenai peranan air dalam mengekalkan fungsi badan serta kesan dehidrasi terhadap kesihatan. Demonstrasi kandungan gula dalam minuman popular turut dijalankan bagi mendidik murid membuat pilihan minuman yang lebih sihat. Sesi diakhiri dengan aktiviti berkumpulan melalui permainan “Detektif Air”, di mana murid menyelesaikan situasi berkaitan hidrasi sebelum perbincangan jawapan bersama fasilitator.

Bagi aktiviti Semangat yang Hebat, Jantung yang Sihat, fasilitator turut berkongsi maklumat berkaitan universiti serta memberikan galakan kepada peserta untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Penerangan mengenai fungsi, struktur dan kepentingan jantung disampaikan secara dua hala melalui sesi soal jawab dan perbincangan ringkas. Aktiviti kuiz melabel struktur jantung serta demonstrasi mengira nadi sebelum dan selepas senaman ringan turut dijalankan bagi memberi pendedahan tentang kadar nadi yang sihat.

Secara keseluruhannya, Projek Santun Masyarakat: Program SCIXPLORE@Maahad Tahfiz berjaya mencapai matlamatnya sebagai inisiatif pemerkasaan pendidikan Sains berasaskan khidmat masyarakat oleh bakal guru Sains UPSI. Program ini bukan sahaja membuka ruang pendedahan ilmu Sains secara kreatif dan bermakna kepada pelajar Maahad Tahfiz, malah membentuk nilai empati, kepimpinan, kerjasama dan tanggungjawab sosial dalam kalangan bakal pendidik.
Sehubungan itu, penganjur berharap program seumpama ini dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa hadapan sebagai platform pembangunan profesional guru pelatih serta medium menyemai minat terhadap Sains demi melahirkan masyarakat yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
