• oleh: Mohd Nazirul Afiq Ismail
  • foto: UCTC UPSI

Rawang – Seramai sekumpulan 70 orang sukarelawan ResQ Team UPSI turun padang membantu menyisihkan kitab-kitab agama seperti Al-Quran dan buku-buku keagamaan yang terjejas semasa bencana banjir bertempat di Taman Seroja di sini baru-baru ini.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEPA) dan penasihat ResQ Team UPSI, Prof. Madya Dr. Norkhalid Salimin berkata kumpulan sukarelawan terlibat merupakan para mahasiswa daripada para pelajar Fakulti Sains dan Matematik selain pasukan ResQ team bagi melibatkan fungsi universiti sebagai sebuah entiti yang bersama dalam masyarakat.

Para sukarelawan sedang melupuskan kitab-kitab agama yang terjejas akibat banjir.

“Kerja-kerja pelupusan naskah kitab-kitab agama yang bemula seawal pagi disisihkan dan diceraikan daripada daripada setiap jilid yang melekat, kemudian dikeringkan dahulu. Setelah itu, naskah-naskah yang sudah kering itu tadi dilupuskan dengan cara dibakar dengan sebaiknya, ” jelasnya.

Menurut Norkhalid lagi, ResQ Team UPSI merupakan pasukan sukarelawan yang ditubuhkan jabatannya sejak tahun 2007 telah melaksanakan lebih 50 misi sokongan menyelamat melibatkan bencana banjir di seluruh negara.

“Menerusi hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memasyarakatkan universiti menjadikan UPSI berjalan seiring dengan aspirasi Keluarga Malaysia di Institut Pendidikan Tinggi (IPT), kini ResQ Team diselaraskan oleh KPT sendiri untuk menyokong usaha murni ini,” jelasnya.

Pasukan sukarelawan ResQ UPSI ketika misi menyelamat ke negeri selatan tanahair baru-baru ini.

ResQ Team tercetus sejak tahun 1998 oleh sekumpulan warga Fakulti Sukan UPSI apabila salah sebuah kursus pengajian Kayak Arus Deras memerlukan pasukan menyelamat bersedia menghadapi kemungkinan sepanjang pengendalian aktiviti lasak ini.

Profesor Madya Dr Norkhalid Salimin.

“Setelah melalui fasa pengalaman di peringkat fakulti, UPSI amat yakin dengan penubuhan pasukan menyelamat ResQ Team untuk menjadi sebuah badan sukarela yang menyokong aspirasi kebersamaan dengan masyarakat menerusi pembangunan strategik menyokong peranan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC),” jelasnya.

Sekitar pertengahan Januari lalu, pasukan ResQ Team UPSI turut menyalurkan bantuan melalui kutipan tabung UPSI Prihatin kepada mangsa banjir di Pagoh dan Segamat, Johor selain kutipan daripada badan bukan kerajaan dan pihak persendirian seperti My Fund Action dan Lim Medic Community Services masing-masing menyumbang alat kebersihan diri bernilai kira-kira RM60 ribu ringgit berjaya diagihkan.

Penerimaan sumbangan My Fund Action untuk mangsa banjir

“Selain menyelamat, pasukan ResQ Team UPSI turut memberi khidmat sokongan mental seperti nasihat kaunseling pada untuk mangsa-mangsa banjir dan bersedia untuk turun padang memberi bantuan menyelamat dengan sebarang kemungkinan bencana pada bila-bila masa,” jelasnya lanjut.

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my