Oleh : Mohd Fahmi Mohd Yunus (Pusat Kebudayaan)
Tanjong Malim – Minimalis, 3 pelakon dan satu pelantar cukup untuk menghiburkan para penonton di Panggung Percubaan 7 Julai lalu. Mendapat kunjungan penonton seramai 476 orang, teater ini menceritakan kisah tiga sahabat iaitu Pungut, Mia dan Chot yang ingin terbang ke bulan. Mereka ingin ke bulan untuk memohon Mak Bulan untuk tidak melahirkan Anak Bulan supaya tidak akan berlaku hari raya atas sebab masalah peribadi yang dihadapi oleh mereka bertiga.
Teater dimulakan dengan iklan ‘mod senyap fon’ dan ‘jangan bising’ secara lakonan yang dikira sebagai kreatif dan luar jangkaan penonton. Setiap babak dan pertukaran set amat kemas dan lancar bagaikan tiada sesaat pun yang tidak dimanfaatkan oleh para krew teater. Berdurasi sekitar satu jam 45 minit teater ini berjaya menghiburkan penonton dengan persembahan yang sarat dengan emosi gembira, sedih, sebak dan membawa para penonton untuk sama-sama berfantasi untuk bertemu Mak Bulan.
Sungguhpun set pentas amatlah minimalis tetapi mereka berjaya memberi impak terutamanya ketika para watak mengimbas semula segala kenangan mereka hinggakan dapat penulis melihat segelintir penonton mengusap air mata yang mengalir di pipi. Pada pengamatan penulis mereka seperti sudah tiga bulan berlatih padahal ketika ditanya kepada krew teknikal mereka menyatakan bahawa sejujurnya persediaan dibuat tidak lebih sebulan termasuk latihan di pentas.
Di akhir pementasan para pelakon, krew dan pengarah teater iaitu Dr. Muhammad Faisal Ahmad dari Fakulti Muzik dan Seni Persembahan diperkenalkan bagi menghargai segala usaha mereka sejak hari pertama gerak kerja hingga selesai pementasan teater tersebut.
Nota Pengarang: Berkesempatan berbual dengan pengarah supertele ‘Gui’ di set belakang tabir. Katanya puas ambil syot pusing satu kampus Sultan Abdul Jalil yang cantik lagi permai. Tak sabar pulak jadinya bila dapat tau, bila nak terbit ya?