Oleh : Muhammad Hazim Haziq Mohd Rizal (KUO)


Tanjung Malim, 4 November 2022, – Kolej Ungku Omar (KUO), Universiti Pendidikan Sultan Idris telah menjalankan program Bakti Siswa: Raikan Si Cilik di Wad Pediatrik, Hospital Teluk Intan.

Program ini dianjurkan oleh Exco Penginapan dan Kemasyarakatan, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar yang disertai oleh 43 orang terdiri daripada 21 orang ahli jawatankuasa program dan 22 orang sukarelawan KUO dengan kerjasama Hospital Teluk Intan, Poliklinik Dr Azhar dan Kawan-kawan cawangan Teluk Intan, Persatuan Seni UPSI dan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang bagi mengambil peluang untuk mewujudkan suasana kondusif warga hospital tersebut di samping mengeratkan hubungan silaturrahim dengan semua pihak.

Umumnya, Pada 20 November 2022 merupakan sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia.

Antara program yang dilaksanakan ialah aktiviti melukis mural selain menyatuni pesakit kanak-kanak agar menceriakan suasana wad pediatrik kanak-kanak. Di samping itu, ia juga menjadi satu simbol penghargaan dan sokongan warga KUO serta rakan kolaborasi kepada kanak-kanak dalam mengharungi cabaran masalah kesihatan yang mereka hadapi.

Menurut Timbalan pengarah (Perubatan) 1, Hospital Teluk Intan, Dr. Noor Azira Haron, merakamkan rasa teruja dan berbesar hati dengan kehadiran mahasiswa dan delegasi sukarelawan kerana kesudian membantu menceriakan suasana Wad Pediatrik serta menyatuni pesakit kanak-kanak tersebut.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak UPSI kerana sudi menceriakan suasana Wad Pediatrik Kanak-kanak dengan melukis mural yang berwarna-warni serta menyatuni pesakit kanak-kanak yang berada disini.

“Kami juga amat mengalu-alukan kedatangan sukarelawan untuk membantu menceriakan wad ini, maka dengan kehadiran mahasiswa memberi sinar baru kepada anak-anak di sini,” katanya.

Menurut Pengetua Kolej Ungku Omar, Prof Madya Dr. Mohd Nizam Nasrifan berkata, dengan adanya perubahan yang dilakukan oleh mahasiswa adalah suatu pendekatan baru kepada generasi muda untuk terus menjalinkan hubungan bersama masyarakat dalam setiap aspek tanpa mengira tahap kesihatan.


“Apabila pesakit di kalangan kanak-kanak ini gembira melihat hasil karya kita itu adalah satu kejayaan yang tidak ternilai kerana ianya merupakan hasil titik peluh kita sendiri,” jelasnya.


Kesimpulannya, program ini dapat mencungkil bakat yang dimiliki oleh mahasiswa dan mahasiswi institusi pengajian tinggi (IPT) dalam pengurusan melaksanakan sesuatu program serta mewujudkan sifat kasih sayang dan prihatin dalam diri mereka terhadap golongan kanak-kanak yang kurang sihat.


Semoga program ini dapat membuka mata kepada mahasiswa/i IPT khususnya pelajar UPSI dalam meneruskan legasi membantu mereka yang memerlukan dalam apa jua sukarelawan yang dijalankan agar jadi mahasiswa yang terbaik dari yang terbaik.

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my