Nilai 15 Mei – Menyedari lumrah masalah ‘tertukar’ beg para jemaah peserta umrah di tanah suci Mekah, sekumpulan pelajar Fakulti Seni Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyantuni serta menyerahkan gelang penanda pada beg rombongan 35 jemaah umrah Tiram Travel Sdn. Bhd. yang berlepas di lapangan terbang Kuala Lumpur International Airpot (KLIA2) di sini, malam ini.
Program ‘Projek Santun Masyarakat’ itu merupakan salah sastu inisiatif bagi memenuhi keperluan kursus Insan Guru Profesional (KPG3013) dengan mengetengahkan hasil produk kreatif dan inovatif “Reminder Art Craft”, kraf sulaman yang berfungsi sebagai penanda beg para jemaah.
Menurut Penyelaras Kursus, Dr Harleny Abd Arif berkata idea hasil produk inovasi ini adalah bertitik tolak daripada analisis keperluan pelajar terhadap isu yang sering dihadapi jemaah semasa mengerjakan umrah ekoran desain dan warna beg yang sama semasa menjalani ibadah haji atau umrah.
“Daya cipta hasil produk bernilai estetik ini walaupun berskala kecil, namun mampu memberi impak yang besar kerana rekaannya selain memenuhi keperluan komuniti dalam kalangan jemaah, fungsi dan kegunaannya boleh diperkenalkan sehingga ke peringkat global,” jelasnya.
Jelas Harleny lagi, setiap wakil keluarga telah diberikan produk yang sama warnanya bagi memudahkan pengecaman sekiranya berlaku kekeliruan mengenal pasti beg dalam kalangan jemaah.
“Uniknya, bahan yang digunakan dalam penghasilan produk Reminder Art Craft ini tidak memerlukan kos yang tinggi dan hanya terdiri daripada elastic band, velcro tape, benang sulam, labuci, manik dan butang,” jelasnya lanjut.
Salah seorang mahasiswa, Muhammad Syahmi Syahbuldin berkata amat gembira dapat menyumbang hasil karya seni yang menjadi nilai tambah untuk membantu para jemaah beribadah di tanah suci.
“Saya sangat gembira apabila mendapat respon yang amat baik dari kalangan jemaah dan lebih bersemangat untuk menghasilkan lebih banyak inovasi serta menyumbang kepada masayarakat,” jelasnya.
Salah seorang peserta, Zulkefli Abd Wahab, 53, dari Taiping, Perak, berkata usaha yang dilaksanakan para pelajar UPSI ini amat baiklah kerana masalah pertukaran beg menjadi salah satu lumrah semasa menunaikan umrah kerana bergerak dalam kelompok yang ramai.
“Apabila dibekalkan dengan “tag bag” ini secara tidak langsung pertukaran beg baju antara jemaah tak akan berlaku kerana mereka dapat mengenalpasti tag yg terdapat pada beg mereka melalui corak dan warna pada tag tersebut,” jelasnya lanjut – ePena