Oleh: Tuan Husna Tuan Hussin
Siapa sangka kehidupan di sebalik tirai besi ini memberi satu sinar yang baru buat penghuni penjara terutamanya bagi calon-calon yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dalam usaha memberi sokongan dan semangat baharu kepada penghuni-penghuni penjara, Bahagian Komunikasi Korporat (BKK) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil inisiatif dan mengorak langkah yang lebih padu telah menganjurkan program Restu Ilmu SPM 2023 melalui kerjasama beberapa kolaborasi iaitu Jabatan Penjara Malaysia (JPM), Pejabat Pendidikan Daerah Kluang (PPD) dan Sekolah Integriti Kluang, Johor.
Program yang dianjurkan oleh Exco Latihan Pembangunan dan Sahsiah Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), UPSI ini merupakan salah satu inisiatif bagi memberi suntikan motivasi dan semangat buat pelajar di Sekolah Integriti Kluang, Johor. Pada dasarnya, sekolah ini ditubuhkan bermula tahun 2008 dengan menekankan kepentingan pendidikan kepada penghuni muda tirai besi di Penjara Kluang ini yang kini bilangan pelajar sebanyak 32 orang yang melalui sesi pengajaran dan pembelajaran (PDP) bersama guru-guru yang profesional.
Program Restu Ilmu adalah bukan sekadar memberikan dorongan untuk calon SPM malah turut mengeratkan hubungan dan memberi pengalaman bersua muka antara ibu bapa dan para pelajar. Turut hadir adalah Tuan Muhamad Saifullah Adnan (Komandan Sekolah Integriti Kluang) mewakili pengarah Penjara Kluang, Encik Ali @ Zainalabidin Syed Abidin (Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kluang), Felo Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) Dr. Omar Firdaus Mohd Said, Pengetua Kolej Harun Aminurrashid, Dr. Haji Che Anuar Che Abdullah dan juga Felo Penasihat Program, Norrulkamari Daud turut hadir dalam menjayakan program berimpak ini.
Dr. Omar Firdaus dalam ucapan perasmiannya menzahirkan ucapan penghargaan beliau kepada pihak Jabatan Penjara Kluang yang memberikan komitment yang sangat baik dalam menjayakan program bersama pelajar-pelajar di Sekolah Integriti. Harapan beliau buat para pelajar di sekolah ini aga mereka dapat meneruskan kehidupan yang baru dengan pengalaman lalu dijadikan pedoman untuk membina kehidupan yang lebih baik kelak. Kesilapan lalu dijadikan iktibar, diingati tetapi jangan sesekali diulangi, katanya lagi dalam ucapan beliau.
Program yang berlangsung bermula pagi dengan slot kerohanian iaitu bacaan Yasin solat hajat dan solat Dhuha bersama pelajar-pelajar tirai besi sebagai keberkatan kepada calon-calon SPM mengambil peperiksaan tidak lama lagi. Seterusnya diteruskan dengan slot motivasi yang disampaikan oleh Dr. Haji Che Anuar bin Che Abdullah. Melalui slot yang dikendalikan beliau, banyak pesanan dan motivasi yang diberikan kepada pelaja-pelajar tirai besi agar lebih maju ke hadapan dengan melepaskan pengalaman lalu dan membina kehidupan baru sebagai mencipta kebahagiaan untuk diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Slot kemuncak iaitu slot memohon restu para pelajar bersama ibu bapa mereka. Turut juga diselitkan dengan slot pemberian kad ucapan waris kepada para pelajar dan juga lafaz ucapan dan coretan daripada pelajar kepada ibu bapa yang hadir. Slot ini mampu mencetuskan keinsafan, sedih, pilu dan terharu buat yang hadir terutamanya pelajar tirai besi yang mana dicuitkan dengan ucapan ibu bapa sebesar manapun kesilapan yang dilakukan, kasih dan sayang ibu bapa tiada putusnya buat anak-anak mereka. Harapan daripada ibu bapa agar anak-anak mereka ini tidak mengulangi lagi kesilapan yang lalu.
Program diteruskan lagi dengan slot penyampaian beberapa Anugerah Khas kepada pelajar tirai besi seterusnya penyampaian modul PdP yang disumbang ikhlas oleh pihak UPSI kepada mereka dan juga modul 3M (menulis, membaca dan mengira) serta sumbangan set alat tulis kepada calon yang mengambil SPM.
Selaku Pengarah Program merangkap Exco Latihan Pembangunan dan Sahsiah, Shamir Zulkifli berkata, “Program ini dijalankan bertujuan untuk memberi motivasi kepada pelajar dan semangat kepada mereka yang bakal menduduki peperiksaan penting. Kami mengharapkan program ini dapat sedikit sebanyak menyuntik semangat baharu kepada pelajar-pelajar di Sekolah Integriti untuk terus berusaha belajar bersungguh-sungguh untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang.”
Pelajar di Sekolah Integriti Kluang ini mempunyai azam yang tinggi untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan kecekalan mereka boleh dicontohi oleh semua mahasiswa universiti. Inspirasi dan motivasi yang didapati sekeliling telah mengajarkan bahawa masing-masing dapat merasai kecemerlangan dan kejayaan selagi ia berusaha ke arah kebaikan.
Program penutup berakhir dengan persembahan pelajar tirai besi dengan nyanyian lagu Oh Ibu dan juga lagu Ayah ditujukan khas kepada ibu bapa yang hadir. Dengan maksud yang tersirat dalam lagu tersebut mampu memberi sejuta makna dan keinsafan kepada yang hadir, lebih-lebih lagi menyelami kehidupan mereka di tirai besi namun semangat ini mampu memberi sinar baru buat mereka setelah keluar dari penjara kelak. Segala gambar sewaktu pelaksanaan program di dalam penjara tidak dapat dikongsikan kerana terlalu sulit dan tidak dibenarkan oleh pihak penjara.