Oleh: Muhammad Azfar Malem, Nurulhuda Liana Mohd Salleh dan Ummikalsum Mat Lazim
Tanjong Malim, 31 Disember 2024- Program Epic Huffaz Odyssey yang dianjurkan oleh Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (MMK KUO) telah dilaksanakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 31 Disember 2024. Program ini turut melibatkan kerjasama daripada Persatuan Tahfiz Qiraat (PTQ), Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI).
Melalui slot motivasi Hamalatul Quran bersama 10 orang pimpinan Persatuan Tahfiz Qiraat (PTQ) melibatkan seramai 107 orang pelajar dari Maahad Tahfiz Integrasi Sains Madinatul Huffaz. Program ini bertujuan untuk menggalakkan pemahaman yang lebih mendalam terhadap ajaran Al-Quran, selain memberikan pendedahan kepada para pelajar tentang hala tuju pendidikan tahfiz di peringkat yang lebih tinggi.

Yang Dipertua Persatuan Tahfiz Qiraat (PTQ), Azim Kasri turut mengingatkan kepada peserta bahawa menjadi Hamalatul Quran bukanlah suatu tugas yang mudah, tetapi ia adalah satu penghormatan yang besar. Ia memerlukan usaha yang berterusan, kesabaran, dan ketekunan. Namun, percayalah bahawa setiap langkah yang kita ambil untuk mendekatkan diri dengan al-Quran adalah langkah yang membawa kita lebih dekat kepada Allah SWT.


Menurut Ustazah Ummikalsum, sebagai pelajar tahfiz, kita tidak hanya mempelajari dan menghafaz al-Quran, tetapi kita juga perlu memahami dan mengamalkan isi kandungannya dalam kehidupan seharian. Beliau selalu mengingatkan bahawa perjalanan menuntut ilmu ini adalah satu pengorbanan yang memerlukan kesabaran, ketekunan, dan keikhlasan. Beliau juga menekankan pentingnya menjaga akhlak dan disiplin diri sebagai seorang pelajar tahfiz. Setiap langkah yang kita ambil, setiap hafazan yang kita pelajari, hendaklah disertai dengan niat yang tulus untuk mencari keredhaan Allah SWT.


Selain itu, para peserta turut mengambil bahagian dalam aktiviti ‘Gallery Walk’. Dalam aktiviti ini, setiap peserta akan diberikan satu potongan ayat al-Quran yang berkaitan dengan kisah para nabi. Setiap kumpulan akan diwakili oleh dua orang pembentang, manakala ahli kumpulan yang lain akan bergerak ke kumpulan lain untuk menyaksikan hasil pembentangan mereka. Aktiviti ini menjadi satu usaha bersama untuk menyiapkan pembentangan dalam tempoh kurang daripada satu jam.

Dengan berakhirnya program ini, semua yang terlibat berharap agar program seperti ini dapat diteruskan lagi di masa akan datang bagi memastikan penghayatan ilmu al Quran dalam diri generasi muda dapat dikukuhkan untuk jangka masa yang panjang.
