Oleh : Tengku Ahmad Baihaqi Tengku Baharom, Muhammad Asri Aliman dan Bazli Razak

Tanjung Malim, 13 April 2025 – Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki (MMK KAB) sidang 2024/2025 dengan kerjasama PALAPES UPSI telah menganjurkan satu program kesedaran bertemakan Combat Scammer With Rahmat (C.S.R).

Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan kewaspadaan terhadap modus operandi penipuan dalam talian yang semakin berleluasa. Inisiatif ini diambil susulan kejadian penipuan yang melibatkan beberapa mahasiswa UPSI, yang mengalami kerugian hampir RM3,000 hanya melalui satu klik di platform atas talian.

Bagi menyemarakkan program C.S.R dan dalam semangat Syawal, pihak Kolej Aminuddin Baki turut menganjurkan aktiviti gotong-royong memasak juadah bertemakan Aidilfitri bersama penghuni kolej. Aktiviti ini bukan sahaja mengeratkan ukhwah dalam kalangan penghuni, malah menjadi wadah pemindahan ilmu dan nilai kebersamaan.

Gotong-royong dimulakan dengan pencarian buluh di kawasan hutan Sg. Bil, diikuti dengan proses membersihkan ayam, memotong daging serta menghias pentas bagi menceriakan suasana program.

Kemuncak program ialah perkongsian pengalaman dan ilmu oleh Ketua Pegawai Eksekutif Rahmat Fitri Consultant Sdn. Bhd, Encik Rahmat Fitri Abdullah. Beliau merupakan bekas Pegawai Penyiasat Polis Diraja Malaysia yang menamatkan perkhidmatan berpangkat Asisten Superintenden Polis (ASP).

Kini, beliau aktif menyampaikan ceramah dan bengkel berkaitan isu penipuan dalam talian kepada masyarakat umum.

Melalui program seperti C.S.R, diharap mahasiswa lebih peka terhadap ancaman ‘scam’ serta dapat melindungi diri daripada menjadi mangsa jenayah siber yang semakin kompleks.