oleh : Profesor Madya Dr. Mohd Abdul Nasir Abd Latif

KUCHING, 15 Mac 2025 – Semangat kebersamaan kembali menyinari bumi Kenyalang apabila bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berhimpun dalam program Pertemuan Alumni UPSI Sarawak: Dari Kita Untuk Semua! yang dijadualkan berlangsung pada 15 Mac 2025 bertempat di Masjid Lama Al-Qudus.

Program ini merupakan inisiatif murni daripada Alumni UPSI di Sarawak dengan kerjasama Pusat Wakaf, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) UPSI, bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah antara alumni serta membuka ruang untuk bersama menyumbang kepada Dana Wakaf & Endowmen UPSI demi manfaat pendidikan generasi akan datang.

Majlis pertemuan ini bukan sahaja medan bertukar cerita dan pengalaman, malah menjadi platform strategik dalam menjana sokongan alumni terhadap pembangunan institusi tercinta, Ibu Kandung Suluh Budiman.

Para alumni dijemput hadir bersama keluarga bagi memeriahkan suasana sambil menghayati nilai khidmat bakti yang mendasari hubungan antara UPSI dan anak didiknya.

“Pertemuan ini adalah lambang kasih dan sayang kita kepada UPSI – peluang untuk kita kembali memberi dan bersama mencorak masa depan pendidikan,” ujar Prof Madya Dr. Mohd Abdul Nasir Abd Latif, Pengarah WEZAS.

“Lawatan ke bumi kenyalang ini sangat memberi impak yang positif dalam memperkasakan dana wakaf dan endowmen. Beberapa pewakaf tetap UPSI dicatatkan dan sebanyak 4 akaun endowmen berjaya ditubuhkan,” ujarnya.

Pihak WEZAS mengucapkan jutaan terima kasih kepada alumni UPSI dari seluruh Sarawak yang turut serta dalam pertemuan ini. WEZAS juga mengalu-alukan alumni di negeri-negeri lain untuk turut serta dalam usaha untuk pendanaan menerusi sumbangan wakaf dan endowmen UPSI.