Prof Dr Rosmilah ( dua dari kanan) bertukar dokumen MoU dengan Datuk Dr. Mohamad Zabawi sambil disaksikan oleh Datuk Athur Joseph Kurup ( tengah).Prof Dr Rosmilah ( dua dari kanan) bertukar dokumen MoU dengan Datuk Dr. Mohamad Zabawi sambil disaksikan oleh Datuk Athur Joseph Kurup ( tengah).

Oleh: Dr. Zahidah Ab Latif

Serdang – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Fakulti Teknikal dan Vokasional ( FTV) semalam memeterai Memorandum Pesefahaman (MoU) dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pendidikan dan penyelidikan serta pembangunan teknologi pertanian.

Majlis menandatangani MoU tersebut berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang sempena penganjuran program Show Tech 2025.

Upacara menandatangani MoU itu disaksikan oleh wakil-wakil kanan daripada kedua-dua institusi serta tetamu jemputan termasuk , pegawai kerajaan, ahli akademik dan penggiat industri pertanian.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi UPSI, Profesor Dr. Rosmilah Misnan yang mewakili menyatakan bahawa kerjasama ini merupakan satu langkah penting ke arah memperkukuh jaringan akademik dan industri yang dapat memberikan manfaat besar kepada pelajar dan penyelidik.

Melalui MoU ini, katanya, UPSI dan MARDI bersetuju untuk menjalinkan kerjasama strategik dalam pelbagai bidang termasuk penyelidikan bersama, perkongsian kepakaran, pembangunan kurikulum serta pelaksanaan latihan industri dan mobiliti pelajar.

Beliau berkata ia bertujuan melahirkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam bidang pertanian pintar serta menyokong usaha negara ke arah pembangunan pertanian mampan berasaskan teknologi.

Sementara itu, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, kerjasama dengan UPSI akan membuka ruang lebih luas bagi memperkasa penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengkomersialan teknologi pertanian tempatan serta mampu meningkatkan keberkesanan pemindahan teknologi kepada masyarakat, khususnya para petani dan usahawan tani.

Beliau berkata kerjasama di antara UPSI dan MARDI sedia terjalin sebelum ini apabila pihak MARDI menyumbang teknologi dan rumah tadahan hujan kepada Fakulti Teknikal dan Vokasional, UPSI melalui Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan 2024.

Dengan termeterainya MoU ini, UPSI dan MARDI menunjukkan komitmen jitu dalam memperkukuh ekosistem pendidikan dan pertanian negara.

Kerjasama ini dijangka memberi impak positif kepada pembangunan ilmu, peningkatan produktiviti sektor pertanian serta menyediakan landasan kukuh bagi generasi muda menyumbang kepada kemajuan negara melalui pertanian moden dan lestari.

Program Show Tech 2025 merupakan platform pameran teknologi pertanian yang menghimpunkan inovasi dan kepakaran terkini dalam sektor agro makanan dan teknologi hijau yang berlangsung selama lima hari dan dijangka menarik sehingga 500 ribu pengunjung termasuk pertubuhan bukan kerajaan serta pemain industri. ⁠

Sepanjang program, pengunjung dibenarkan untuk melawat kilang, tanaman, herba kelulut dan banyak lagi bagi memupuk minat kanak-kanak terhadap bidang pertanian.

Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Athur Joseph Kurup, Show Tech 2025 Yang merupakan platform pameran inovasi teknologi terkini dapat merapatkan jurang cabaran dalam sektor pertanian dengan memperkenalkan pertanian moden melalui robotik dan iot kepada usahawan tani muda di negara ini.