Oleh: Dr. Shakila Che Dahalan dan Dr. Kama Shaffieei
Tanjong Malim, 19 Julai 2025 – Suasana meriah dan penuh semangat terpancar di Stadium Arena, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) apabila Karnival Aktif Budiman Sesi 2025/2026 anjuran Sekolah Rendah Sri Budiman (SRSB) berjaya dilangsungkan dengan jayanya.
Karnival tahunan ini menjadi platform penting untuk menyemai semangat kesukanan, memupuk kerjasama antara murid, guru dan ibu bapa serta memperkukuh nilai perpaduan dalam kalangan komuniti sekolah.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran wakil rasmi dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Muallim, Encik Mohamad Irwan Mashur, Penolong Pegawai Bahagian Pendidikan Swasta, sebagai tetamu kehormat.
Turut hadir memeriahkan acara, Encik Khairol Najib Hashim, Pegawai Khas kepada YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, yang hadir mewakili Ahli Parlimen Tanjong Malim.



Dalam ucapan perasmian, Guru Besar SRSB, Dr. Kama Shaffeei menzahirkan penghargaan atas sokongan berterusan daripada pelbagai pihak, termasuk pihak NiCE, agensi kerajaan, sektor swasta dan ibu bapa.
Istimewa buat Restoran Marrybrown Tanjung Malim, yang menjadi penaja utama karnival tahun ini. Terima kasih khusus ditujukan kepada Pengurus Restoran, Encik Mohamad Irwan Md Yusup, atas tajaan dan kerjasama yang amat bermakna.
“Karnival Aktif Budiman adalah usaha berterusan SRSB dalam menyokong pelaksanaan Pendidikan Sukan dan Pembangunan Sahsiah, seiring dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kami amat bersyukur atas kelancaran program ini.
Semangat kerjasama dan kekeluargaan yang ditonjolkan hari ini menjadi bukti bahawa pendidikan holistik mampu dicapai melalui pendekatan komuniti sekolah yang inklusif dan aktif,” katanya.
Karnival turut menampilkan acara-acara menarik seperti perarakan rumah sukan dengan kostum bertema, pertandingan sukaneka, hiasan khemah, dan aktiviti kekeluargaan yang mendapat sambutan hangat daripada ibu bapa dan penjaga.
Kehadiran dan sokongan padu daripada mereka bukan sahaja menyerikan suasana, malah menjadi kunci utama kejayaan program. Parents Support Group (PSG) turut memainkan peranan besar dalam memastikan kelancaran program.



Ahli-ahli PSG bukan sahaja membantu dari aspek logistik dan persiapan awal, malah menjadi tulang belakang dalam penyediaan makanan, perhiasan khemah serta pengurusan acara.
Komitmen mereka menjadi simbol keutuhan jalinan kerjasama antara sekolah dan ibu bapa dalam memajukan pembangunan murid secara menyeluruh.
Karnival ini dijangka menjadi acara tahunan utama dalam kalendar sekolah SRSB, dan akan terus diperhebatkan dari semasa ke semasa demi manfaat anak-anak generasi pewaris negara.
