Oleh: Aveana Sephia Arifsi dan Amiratul Balqis All Ashari

TANJONG MALIM, 3 Ogos 2025 – Suasana bertukar meriah apabila Program “Bicara Aspirasi Mahasiswa” anjuran Exco Wacana Intelek, Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berlangsung dengan jayanya di SMK Tekek, Pulau Tioman, Pahang.

Program selama dua hari bermula 03 hingga 04 Ogos 2025 ini membawa misi besar dalam menyuntik semangat, membina keyakinan diri dan memberi inspirasi kepada pelajar luar bandar agar berani mengejar cita-cita mereka.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI, Profesor Dr. Norkhalid Salimin. Dalam ucapan penuh motivasi, beliau menegaskan bahawa pendidikan bukan sekadar laluan ke alam pekerjaan, tetapi kunci membina kehidupan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI, Profesor Dr. Norkhalid bin Salimin.
Sesi slot motivasi bersama Saudara Mohamad Farid bin Amri.
Sesi slot motivasi bersama Saudara Mohamad Farid bin Amri.

“Anak-anak Pulau Tioman perlu percaya bahawa mereka mampu melangkah sejauh yang mereka impikan. UPSI sentiasa bersedia menjadi jambatan antara kampus dan komuniti, supaya peluang pendidikan dapat dirasai oleh semua.” ujar beliau.

Turut hadir, Pengetua Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK), Profesor Madya Ts. Dr Che Ghani Che Kob, yang menyatakan sokongan penuh terhadap usaha tersebut.

Beliau turut meluangkan masa beramah mesra dengan pelajar, mendengar aspirasi mereka, dan memberi kata-kata motivasi agar terus yakin mengejar cita-cita.

Pelajar SMK Tekek memberi fokus dalam aktiviti Cup Stacking Challenge.
Pelajar SMK Tekek menghidupkan watak dalam persembahan Sketsa Nilai Murni yang sarat mesej positif.
Pelajar SMK Tekek menghidupkan watak dalam persembahan Sketsa Nilai Murni yang sarat mesej positif.

“Jika ada anak-anak SMK Tekek yang berhasrat melanjutkan pelajaran ke UPSI, pihak UKLK akan sentiasa bersedia membantu memberi panduan dan sokongan yang diperlukan,” katanya sewaktu merasmikan penutupan program ini.

Sepanjang dua hari program, pelajar Tingkatan 3 hingga Tingkatan 5 terlibat dalam pelbagai slot menarik.

Antara yang mencuri perhatian ialah slot motivasi bersama Naib Yang Dipertua Majlis Mahasiswa Kediaman Luar Kampus (MMKLK), Saudara Mohamad Farid bin Amri, yang berjaya meniupkan api semangat juang dalam diri peserta.

Pelajar juga berpeluang mengasah kemahiran dan membina kerjasama melalui aktiviti Cup Stacking Challenge yang menguji fokus dan koordinasi, diikuti cabaran Jambatan Impian yang memerlukan strategi dan keyakinan untuk menyeberangi halangan secara berkumpulan.

Bukan sahaja itu, persembahan Sketsa Nilai Murni turut menjadi sorotan apabila pelajar melakonkan situasi kehidupan seharian yang sarat dengan mesej positif, sekali gus memberi pengajaran tentang kepentingan hormat-menghormati, tanggungjawab dan tolong-menolong.

Pendekatan program ini memberi peluang kepada pelajar untuk melihat dunia pendidikan dari perspektif baharu bahawa ilmu adalah tiket untuk mengubah masa depan.

Semangat dan kegembiraan pelajar terserlah melalui perkongsian mereka:

“Saya lebih yakin nak capai cita-cita jadi cikgu. Insya-Allah UPSI jadi pilihan pertama saya,” kata Darwisyah, pelajar Tingkatan 4.

“Belajar bukan untuk peperiksaan saja, tapi untuk masa depan. Bila habis SPM nanti saya nak sambung belajar di UPSI, ” ujar Aiman, pelajar Tingkatan 5.

Bagi mahasiswa UPSI yang terlibat, program ini turut menjadi medan latihan kepimpinan dan pengurusan, di mana mereka sendiri menguruskan perancangan, pengendalian aktiviti dan logistik.

Kejayaan “Bicara Aspirasi Mahasiswa” membuktikan bahawa kolaborasi universiti dan komuniti luar bandar mampu mencipta impak besar, selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 4: Pendidikan Berkualiti).

Dengan semangat yang dibawa pulang, diharapkan lebih ramai anak muda di pedalaman akan terdorong untuk mengejar impian dan membina masa depan yang gemilang.