TANJONG MALIM, 8 JANUARI 2025 – Program SULAM yang dinamakan CRAMPX telah berjaya dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Zulkifli Mohamad (SMKDZ) dengan penglibatan pelajar Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta murid sekolah berumur di antara 15 hingga 16 tahun.
Program ini diadakan sebagai inisiatif untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pelajar tentang punca, pencegahan dan pengurusan kekejangan otot yang efektif dalam sukan. Pendekatan program menekankan perkongsian ilmu yang mudah difahami, demonstrasi teknik yang betul serta amalan keselamatan semasa bersukan.
Inisiatif ini turut bertujuan mengubah persepsi bahawa menangani kekejangan otot hanya memerlukan rehat, sebaliknya memperkenalkan langkah proaktif seperti regangan, penghidratan mencukupi, dan pengurusan intensiti aktiviti fizikal.


Program bermula seawal jam 8.00 pagi dengan sesi pendaftaran dan sarapan pagi, diikuti ucapan aluan oleh pihak sekolah dan perasmian oleh Pengetua SMKDZ, Tuan Haji Ainudin Muhammad bersama pensyarah penyelia, Dr. Mohd Azrul Anuar Zolkafi. Suasana penuh keterujaan dapat dirasai apabila murid dan fasilitator mula berinteraksi, menandakan permulaan aktiviti yang bermanfaat dan menyeronokkan.




Sesi pembelajaran dimulakan dengan aktiviti ice breaking yang menceriakan suasana, diikuti taklimat ringkas tentang kepentingan memahami otot dan fungsi fisiologi badan. Peserta kemudiannya dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk menjalani modul interaktif CRAMPX yang merangkumi latihan regangan, simulasi situasi kekejangan otot, dan teknik bantuan segera.
Pelaksanaan aktiviti dalam kumpulan memberi peluang kepada murid untuk berinteraksi secara aktif, bertukar pendapat, dan mempraktikkan teknik yang diajar. Selepas waktu rehat, program diteruskan dengan aktiviti sukan santai yang menggabungkan elemen pendidikan dan kerjasama pasukan.
Aktiviti ini berjaya mencetuskan semangat kerjasama, keyakinan diri, dan kesedaran terhadap pentingnya penjagaan otot dalam kalangan peserta. Murid menunjukkan minat yang tinggi sepanjang program berlangsung, dengan sesi soal jawab menjadi antara momen paling interaktif.
Kejayaan program ini bukan sahaja terletak pada keberkesanan penyampaian ilmu berkaitan kesihatan sukan, tetapi juga dalam membentuk sikap proaktif murid terhadap pencegahan kecederaan. Ia turut menjadi platform latihan kepada mahasiswa UPSI dalam aspek kepimpinan, komunikasi, dan pengurusan program bersama komuniti sekolah.
Penasihat program memberi peluang sepenuhnya kepada barisan Ahli Majlis Tertinggi dan jawatankuasa pelaksana untuk mengurus program dari peringkat perancangan hingga pelaksanaan, termasuk penyediaan modul, pengendalian aktiviti, dan pengurusan logistik. Keseluruhan program diakhiri dengan sesi bergambar sebagai tanda kenangan bersama semua peserta dan fasilitator.
