Tanjong Malim, 2 September 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencatat sejarah apabila menjadi tuan rumah Mesyuarat Kali Pertama Sekretariat Taskforce Orang Kurang Upaya (OKU) Universiti Awam (UA) Malaysia yang menghimpunkan 33 ahli daripada 20 universiti seluruh negara.
Mesyuarat julung kali itu merupakan kesinambungan usaha memantapkan pengurusan inklusif OKU di peringkat universiti dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Pengerusi sekretariat, Profesor Dr. Norkhalid Salimin, yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, menegaskan kepentingan penyelarasan data, penganjuran program berimpak tinggi serta pelaporan yang lebih tersusun dan responsif.
“Sekretariat ini menjadi platform penyatuan usaha UA dalam memperkukuh tadbir urus, ekosistem, kebajikan serta menangani isu semasa berkaitan pengurusan OKU di universiti,” katanya.
Hadir sama, En. Kaliyapan a/l Rajakumaran, Ketua Penolong Pengarah Seksyen Kesejahteraan Mahasiswa (SKM), JPT, KPT, yang membentangkan isu dasar berkaitan pengurusan OKU serta menyeru semua UA memperkukuh komitmen terhadap agenda inklusif negara.

Mesyuarat turut menerima maklum balas positif daripada ahli sekretariat yang menekankan keperluan program-program berimpak dan kolaborasi bersama komuniti OKU di UA.
Sekretariat Taskforce OKU UA dianggotai semua universiti awam dan bersidang dua kali setahun, dengan pengerusinya dilantik secara bergilir setiap dua tahun melalui Mesyuarat Jawatankuasa Timbalan Naib Canselor/Timbalan Rektor UA Malaysia.
