Oleh: Zuraily a/p Uda @ Longgok

Tanjong Malim, 15 Oktober 2025- Jabatan Bahasa Etnik, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPSI dan SMK Sri Tapah,Tapah Perak  telah menganjurkan program Eksplorasi Kampus Ilmu,Lawatan murid asli ke UPSI.

Program yang disertai seramai 41 peserta terdiri daripada 36 murid dan 5 guru pengiring bertujuan memberi pendedahan awal kepada bidang Bahasa Semai yang mula ditawarkan di UPSI sejak Oktober 2024. Lawatan ini turut memperkenalkan penawaran program bahasa etnik serta memberi peluang kepada murid Orang Asli mengenali suasana pembelajaran di universiti, khususnya di UPSI sebagai institusi pendidikan yang melahirkan guru dan tenaga akademik profesional.

Program ini merupakan inisiatif pensyarah Bahasa Semai yang pernah mengikuti Program Orientasi Sekolah (POS) selama dua bulan di sekolah berkenaan. Penganjuran lawatan tersebut dilihat sebagai usaha membina keyakinan dan menambah pengetahuan murid Orang Asli terhadap bidang Bahasa Semai.

Timbalan Pengarah (E-Pembelajaran dan Transformasi Akademik),Pusat Pembangunan Akademik (Chm. Dr.Yuhanis Mhd Bakri), Wakil Bahagian Sumber Manusia (BSM), UPSI, Muhammad Faheem Mohd Dahlan dan Ketua Jabatan Bahasa Etnik,Dr. Muhammad Fadzllah Zaini turut menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran ini. Menurut mereka, program seumpama ini memberikan impak yang besar bukan sahaja kepada UPSI sendiri tetapi kepada komuniti Orang Asli semai untuk memartabatkan bahasa etnik Semai ke peringkat global.

Pengajian Bahasa Etnik yang ditawarkan di FBK mengangkat identiti Malaysia sebagai negara berbilang bahasa dan budaya. Melalui lawatan ini, murid-murid berpeluang mengenali kehidupan kampus serta fasiliti universiti mengikut bidang masing-masing, di samping memperoleh maklumat berkaitan prosedur permohonan dan laluan khas kemasukan ke UPSI.

Selain itu, peserta turut didedahkan kepada keperluan dan hala tuju bidang Bahasa Semai dalam pendidikan. Bahasa Semai mula diperkenalkan dalam kurikulum pendidikan Malaysia pada Mac 1996, namun kekangan tenaga pengajar opsyen dan kekurangan guru khusus dalam bidang ini telah mendorong UPSI untuk menawarkan program Bahasa Etnik dengan pengkhususan Bahasa Semai sebagai langkah memperkasa pendidikan bahasa asli di institusi pengajian tinggi.

Dalam lawatan tersebut, peserta turut dibawa melawat ke Muzium Pendidikan Nasional dan Perpustakaan Tuanku Bainun, dua lokasi yang menyimpan pelbagai sejarah, ilmu dan khazanah pendidikan negara.

Taklimat ringkas daripada Penolong Kurator MPN ,Ahmad Nazri Ismail
Pameran di Perpustakaan Tuanku Bainun
Murid-murid bersama pelajar Diploma Bahasa Etnik ketika menghadiri Simposium Bahasa Etnik Antarabangsa di FBK

Rombongan turut berpeluang menghadiri Simposium Bahasa Etnik Antarabangsa yang berlangsung di Fakulti Bahasa dan Komunikasi. Murid-murid berkesempatan menyaksikan pameran dan pembentangan ilmiah yang dikendalikan oleh pelajar Diploma Bahasa Etnik, sekali gus memberi pendedahan awal kepada suasana pembelajaran dan penyelidikan di peringkat universiti.

Melalui Program Orientasi Sekolah (POS) yang dikendalikan oleh Pusat Pembangunan Akademik (PPA) dan Unit Latihan, BSM UPSI, pensyarah baharu diwajibkan menjalani latihan orientasi di sekolah terpilih. Menerusi program tersebut, pensyarah Bahasa Semai mengambil inisiatif untuk memperkenalkan dan mempromosikan program Bahasa Semai kepada murid-murid di SMK Sri Tapah, Perak, khususnya dalam kalangan murid Tingkatan 5 yang bakal menduduki peperiksaan SPM tahun ini.

SMK Sri Tapah merupakan satu-satunya sekolah menengah Orang Asli yang menawarkan kertas peperiksaan SPM Bahasa Semai. Sehubungan itu, program lawatan yang dianjurkan memberi tumpuan kepada murid sekolah tersebut bagi menggalakkan permohonan ke UPSI, khususnya dalam bidang pengajian Bahasa Semai yang ditawarkan di universiti ini.

Menurut Ketua Jabatan Bahasa Etnik, Dr. Muhammad Fadzllah, FBK menawarkan pelbagai program akademik yang berteraskan warisan bangsa. Antara program yang ditawarkan ialah Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bahasa Etnik), Diploma Bahasa Etnik, serta program pascasiswazah iaitu Sarjana (Master) dan Doktor Falsafah (PhD) dalam Bahasa Etnik.

Jelas beliau, melalui program-program ini, pelajar bukan sahaja mempelajari bahasa dan budaya etnik, tetapi turut dilatih menjadi pendidik, penyelidik, dan penjaga warisan bahasa yang bernilai tinggi. Beliau turut menggalakkan murid untuk menjadikan UPSI sebagai pilihan utama dalam permohonan UPU bagi meneruskan pengajian dalam bidang pendidikan.

Dr. Muhammad Fadzllah turut menitipkan pesanan bermakna kepada para murid Orang Asli dengan mengingatkan bahawa, “Pendidikan bukan untuk hidup, tetapi pendidikan itulah kehidupan.”

Selain penerangan mengenai program pengajian, turut dikongsikan maklumat berhubung biasiswa dan bantuan pendidikan yang ditawarkan kepada pelajar Orang Asli. Antara inisiatif yang disediakan termasuklah penajaan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta pelbagai bentuk biasiswa lain yang dapat membantu pelajar melanjutkan pengajian tanpa menanggung beban kewangan yang besar.