Dr. Hasrul Hosshan & Muhammad Rais Mujahid Mohd Redzuan

Tanjong Malim – Program bual bicara Nadi CIRCLE anjuran Centre for Inclusive Research on Community and Disability (CIRCLE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak, Wanita Perak dan Kerajaan Negeri Perak telah berlangsung di Digital Hub, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM).

Program yang bertemakan “Sensitiviti & Martabat OKU: Cabaran dan Penerimaan Komuniti terhadap Golongan OKU” ini menampilkan YB Senator Tuan Isaiah D. Jacob, Ahli Dewan Negara yang mewakili komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai panel jemputan khas, manakala Dr. Hasrul Hosshan, Pengarah CIRCLE bertindak sebagai moderator sesi.

Dalam perkongsian beliau, YB Senator Isaiah menegaskan bahawa isu sensitiviti terhadap OKU bukan sekadar berkaitan empati, tetapi memerlukan tindakan berasaskan dasar, pendidikan dan penglibatan masyarakat secara menyeluruh. Beliau turut menyentuh cabaran sebenar yang dihadapi komuniti OKU, termasuk kekangan akses kepada perkhidmatan asas, peluang pekerjaan yang setara, serta hak penyertaan dalam proses membuat keputusan seperti pengundian awam.

Menurut Dr. Hasrul, program Nadi CIRCLE diwujudkan sebagai platform dialog terbuka antara pembuat dasar, akademia dan masyarakat untuk memperkukuh kefahaman terhadap isu martabat, hak asasi dan penerimaan sosial OKU dalam kerangka Malaysia MADANI. Beliau turut menekankan bahawa pendidikan inklusif dan komunikasi sensitif OKU perlu diperluas bagi memastikan setiap individu mendapat ruang yang adil untuk berkembang.

Program yang turut disiarkan secara langsung melalui Facebook rasmi JKM Perak, Wanita Perak dan FPM ini mendapat sambutan hangat dengan perbincangan interaktif dari peserta dan penonton dalam talian.

CIRCLE komited untuk terus membawa suara komuniti OKU ke arus perdana melalui siri Nadi CIRCLE seterusnya, dengan fokus kepada isu dasar, amalan inklusif dan empowerment komuniti OKU di Malaysia.