Oleh: Ummu Noor Balqis, Ainul Atiqah

Tanjong Malim, 7 Oktober hingga 8 Oktober 2025 – Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMKHAR) baru-baru ini telah menerima kunjungan daripada Jawatankuasa Perwakilan Kolej Kediaman, Universiti Malaysia Terenggangu (JPKK UMT) yang bertujuan bagi meningkatkan mutu kepimpinan mahasiswa melalui jalinan strategik bersama Kolej Harun Aminurrashid.

Program ini diadakan bagi tujuan membangunkan kefahaman mendalam tentang kepimpinan adaptif dan kolaboratif melalui perkongsian pengalaman, idea dan strategi antara dua institusi pendidikan selain menggalakkan pembentukan jaringan profesional dan komuniti kepimpinan mahasiswa yang berasaskan nilai integriti dan tanggungjawab sosial.

Rombongan JPKK UMT seramai 40 orang telah tiba di Universiti Pendidikan Sultan Idris pada 7 Oktober 2025 jam 11.00 malam dan mereka telah disambut mesra oleh MMKHAR serta para ahli jawatankuasa program.

Program dimulakan pada pagi 8 Oktober 2025 dengan sarapan dan sesi ramah mesra. Felo Blok Kediaman 1 KHAR, Encik Hazman bin Ya’akob, turut hadir bersama Pengetua KHAR, YBrs. Dr. Haji Che Anuar bin Che Abdullah bagi menyambut rombongan JPKK UMT dengan sambutan yang mesra. Dalam ucapan pembukaan beliau, Dr. Che Anuar menegaskan bahawa kepimpinan adalah proses yang perlu dibentuk dan dipupuk, bukan hadir secara tiba-tiba. Beliau berharap program ini dapat memberikan ilmu serta pengalaman yang memperkukuh sahsiah kepimpinan mahasiswa dari kedua-dua universiti.

Program diteruskan lagi dengan taklimat korporat oleh MMKHAR yang memperkenalkan struktur organisasi kolej dan inisiatif-inisiatif berimpak tinggi yang telah dijalankan oleh KHAR sebelum ini. JPKK UMT juga turut membentangkan struktur organisasi mereka sebelum memasuki sesi perkongsian amalan terbaik antara kedua-dua delegasi.

Acara yang dinanti-nantikan pun tiba, sesi dialog kepimpinan antara mahasiswa kedua-dua universiti itu diadakan dengan sangat baik dengan memberi ruang kepada peserta bertukar pandangan mengenai strategi pengurusan organisasi yang berkesan, pengurusan projek, serta pembangunan sahsiah mahasiswa kini. Hasil perbincangan daripada sesi yang dijalankan adalah sangat memuaskan dengan pertukaran pandangan yang matang, perkongsian ilmu yang holistik dan kerjasama erat yang ditonjolkan.