Oleh: Rafidah Annuar
Tanjong Malim, 1 November 2025 – Dewan Harun Aminurrashid (KHAR), KSAS, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kembali meriah dengan penganjuran Program Photo Scavanger Hunt “Capture the Moment, Unlock the Mission” yang telah dijalankan pada 1 November 2025.
Program ini dianjurkan oleh Exco Blok Kediaman 4, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid Sidang 2025/2026. Program ini bertujuan untuk mengasah kreativiti pelajar melalui aktiviti fotografi, di samping memupuk semangat kerja berpasukan dan komunikasi antara penghuni kolej.



Jumlah keseluruhan peserta yang menyertai program ini ialah seramai 126 orang. Program ini bukan sahaja menyeronokkan, malah pelajar dapat mengasah kemahiran berfikir secara kreatif serta meningkatkan daya kepimpinan masing-masing. AJK pelaksana juga telah membuat perancangan rapi bagi memastikan kelancaran aktiviti dari segi masa, keselamatan dan pengurusan peserta.
Program dimulakan dengan sesi pendaftaran peserta seawal 8.00 pagi sebelum ketibaan Felo Blok Kediaman 4, KHAR, UPSI dan Pengetua KHAR, UPSI. Majlis bermula dengan bacaan doa bagi memberkati perjalanan dan kelancaran program, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Felo Blok Kediaman 4, KHAR, UPSI, YBrs. Encik Muhamad Rusham bin Rustan Nursim. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan semangat kerjasama, kreativiti serta keupayaan pelajar untuk berfikir secara kritikal dalam menghadapi cabaran aktiviti yang bakal dihadapi.



Seterusnya, Pengetua KHAR, UPSI, YBrs. Dr Haji Che Anuar bin Che Abdullah turut menyampaikan ucapan perasmian dengan menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Beliau berharap agar aktiviti seperti ini dapat melahirkan pelajar yang seimbang dari segi sahsiah dan sosial. Sesi fotografi bersama tetamu kehormat dijalankan sebelum mereka beredar, menandakan bermulanya program ini.
Program diteruskan dengan sesi senamrobik sebagai aktiviti pemanasan badan yang menceriakan suasana dan peserta diberikan taklimat aktiviti oleh AJK Aktiviti mengenai cara permainan serta keselamatan sepanjang pertandingan. Sebaik sahaja taklimat selesai, sesi permainan pun bermula.
Pada 10.45 pagi, semua peserta berkumpul semula dan sesi penjurian bermula untuk memilh pemenang. Hadiah menarik disediakan untuk pemenang sebagai tanda penghargaan terhadap usaha dan komitmen yang tinggi sepanjang program dijalankan. Sesi fotografi terakhir turut dijalankan bagi mengabadikan kenangan para peserta dan ahli jawatankuasa pelaksana yang telah bertungkus-lumus menjayakan program ini.



Melalui penganjuran ini, Exco Blok Kediaman 4 berharap agar peserta dapat menimba pengalaman baharu, meningkatkan keyakinan diri serta memupuk nilai kerjasama antara satu sama lain. Program ini juga diharap dapat mengeratkan lagi hubungan antara para pelajar melalui interaksi yang positif.
Secara keseluruhannya, Program Photo Scavanger Hunt “Capture the Moment, Unlock the Mission” dijangka menjadi wadah penting untuk mencungkil potensi pelajar dalam bidang fotografi serta membentuk generasi mahaiswa yang kreatif, aktif dan berdaya saing.
