Oleh: Nurfarah Syazwani Mohd Razib
Sarawak, 28 Oktober 2025 – Program Semarak Kasih Bumi Kenyalang anjuran Persatuan Pengajian Malaysia (PPMas), Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah membuka lembaran bermakna buat mahasiswa apabila berjaya memperkukuh hubungan komuniti dan pembelajaran berasaskan pengalaman.
Program selama lima hari yang berkonsepkan keluarga angkat dan diketuai Pengarah Program, Erin Natasha Darmadie itu berlangsung di Kampung Muara Tuang, Kota Samarahan dengan penyertaan tujuh keluarga angkat tempatan. Ia menjadi platform mendekatkan mahasiswa dengan realiti kehidupan masyarakat luar bandar, selain memupuk empati, nilai kemanusiaan dan kefahaman budaya dalam kalangan peserta.





Sejak peringkat perancangan, seramai 18 ahli jawatankuasa telah memainkan peranan penting melaksanakan sesi latihan intensif di beberapa lokasi seperti Institusi Pengajian Siswazah, Bilik Interaksi Fakulti Sains Kemanusiaan, Dewan Kuliah Pusat serta gelanggang Kolej Ungku Omar. Komitmen tinggi itu menjadi tunjang kelancaran program sebaik tiba di Sarawak.

Pada 24 Oktober, delegasi berlepas ke Kuching dengan diiringi Pensyarah Jabatan dan Penasihat PPMas, Dr. Muhammad Nadzir Ibrahim dan Mohamad Basri Jamal. Turut mengiringi rombongan ialah Zulkhuriatul Hannah Mhd Yusuf, staf FSK. Penerbangan MAS selama satu jam 40 minit itu disambut meriah penduduk Muara Tuang setibanya di bumi Kenyalang.
Ketibaan tersebut menyedarkan mahasiswa bahawa perjalanan ini bukan sekadar tugasan akademik, tetapi misi membina silaturahim, menghayati kepelbagaian budaya serta memupuk semangat perpaduan sejati.
Program keluarga angkat yang menjadi teras utama penganjuran telah membuka ruang kepada peserta untuk merasai sendiri kehidupan masyarakat luar bandar yang sederhana namun sarat dengan nilai kekeluargaan. Pengalaman menetap bersama keluarga angkat bukan sahaja mendekatkan peserta kepada adat dan budaya setempat, malah memberi kesedaran tentang erti kesyukuran serta ketabahan hidup masyarakat di luar bandar.
Melalui setiap senyuman, layanan mesra dan perhatian yang diberikan keluarga angkat, terserlah nilai kasih sayang, tanggungjawab dan rasa hormat-menghormati nilai yang kian terhakis dalam kehidupan moden masa kini.
Sepanjang program, pelbagai aktiviti turut dijalankan, termasuk sukan rakyat, sesi sembang santai bersama komuniti dan persembahan kebudayaan yang menampilkan keindahan serta kepelbagaian etnik masyarakat Sarawak. Program ini sekali gus mengukuhkan hubungan antara peserta dan komuniti setempat, selain menyemai semangat perpaduan yang lebih mendalam.





Program keluarga angkat menjadi nadi utama penganjuran dengan memberi peluang kepada mahasiswa merasai kehidupan masyarakat luar bandar yang sederhana namun sarat nilai kekeluargaan. Layanan mesra, budi bahasa dan perhatian keluarga angkat mengajar erti kesyukuran, ketabahan serta nilai hormat-menghormati yang semakin mencabar dalam arus moden.
Sepanjang program, pelbagai aktiviti dilaksanakan termasuk sukan rakyat, sesi sembang santai serta persembahan kebudayaan yang menonjolkan kepelbagaian etnik di Sarawak.
Momen paling bermakna ialah sesi pertukaran budaya apabila pelajar AT58 mempersembahkan tarian Serampang Laut dan Dikir Barat, manakala penduduk kampung menampilkan tarian Belanang dan Begendang. Persembahan silat turut mewarnai program. Perbezaan budaya menjadi jambatan pemahaman, sekali gus mengukuhkan identiti Malaysia yang harmoni.
Sebagai tanda penghargaan, PPMas turut menyerahkan sumbangan barangan keperluan seperti beras, minyak dan barang asas lain kepada keluarga angkat. Hadiah dan cenderahati turut diagihkan kepada pemenang aktiviti sukan serta menerusi pertukaran hadiah peribadi antara pelajar dan keluarga angkat.
Di samping tugasan program, peserta berkesempatan melawat beberapa destinasi pelancongan terkenal termasuk Taman Tasik Biru, Gua Fairy, Gua Angin, Semenggoh Nature Reserve, Paku Rock Maze Garden, Waterfront Kuching, Kampung Budaya, Muzium Negeri Sarawak dan premis Kek Lapis Warisan. Malam terakhir ditutup dengan jamuan makan di sebuah restoran buffet Loklok popular di Kuching.
Kejayaan program ini didorong oleh sokongan penuh pengurusan, penasihat dan pihak penaja, termasuk YAB Premier Sarawak; YB Menteri Pembangunan Keluarga dan Masyarakat; YB Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi; YB Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat; YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Sarawak; Tabung Baitulmal Sarawak; serta sumbangan dana daripada MPP UPSI, WEZAS, UCTC, FSK dan Jabatan Pengajian Malaysia.
Sebagai mahasiswa UPSI, pengalaman ini menjadi peringatan bahawa pendidik bukan sekadar penyampai ilmu, tetapi pembina jiwa bangsa. Semarak Kasih Bumi Kenyalang meninggalkan kesan mendalam dalam membentuk karakter mahasiswa yang lebih empati, berjiwa rakyat dan menghargai kepelbagaian. Program ini turut menjadi simbol kasih, perpaduan dan semangat mahasiswa untuk melihat masyarakat kekal harmoni, sekali gus menyemarakkan nilai yang dipelajari bagi mengharumkan nama universiti dan mengabadikan semangat Bumi Kenyalang dalam ingatan selamanya.
