Pasukan sukarelawan UPSI ketika menyerahkan bantuan kepada wakil mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) sekitar daerah Lumut, PerakPasukan sukarelawan UPSI ketika menyerahkan bantuan kepada wakil mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) sekitar daerah Lumut, Perak

Oleh Bazli Razak

LUMUT, 25 November 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyalurkan bantuan keperluan asas serta menyediakan sesi kaunseling kepada mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) sekitar daerah Lumut, Perak melalui pelaksanaan Misi Bantuan Fasa Pertama UPSI @ Banjir Lumut.

PPS yang terlibat dalam misi itu merangkumi PPS SMK Setiawan, SK Batu 10 Lekir, PPS Kampung Pasir Panjang Laut dan Kampung Teluk Pancalang yang menempatkan ratusan mangsa berikutan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.

Naib Canselor UPSI, Prof. Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, seramai 31 sukarelawan UPSI dari pelbagai latar belakang digerakkan dalam misi itu termasuk lima staf pentadbiran, lima pensyarah Jabatan Kaunseling, tiga kaunselor dari Pusat Kaunseling, tiga Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta 15 pelajar Fakulti Pembangunan Manusia (FPM).

Menurut Md Amin, misi berkenaan turut menyalurkan sebanyak 400 helai selimut dan 90 pek makanan kering bagi memastikan keselesaan serta kecukupan bekalan kepada mangsa sepanjang berada di PPS.

“Pasukan profesional kaunseling UPSI turut menjalankan sesi sokongan psikososial khususnya kepada kanak-kanak bagi membantu mereka mengurus trauma dan tekanan akibat bencana.

Md Amin berkata, penyertaan universiti dalam misi tersebut menggambarkan keprihatinan UPSI terhadap komuniti setempat, selain memperkukuh peranan institusi pendidikan dalam membantu masyarakat ketika berlakunya bencana.

“UPSI tidak sesekali mengabaikan tanggungjawab sosial kami. Kehadiran pasukan sukarelawan bersama bantuan ini adalah tanda solidariti warga UPSI dengan masyarakat yang sedang berdepan kesusahan.

Menurut beliau, aspek kaunseling yang dibawa dalam misi itu merupakan keperluan penting dalam situasi bencana, terutama kepada kanak-kanak yang sukar meluahkan emosi dan ketakutan mereka.

“Kadangkala trauma yang dialami kanak-kanak tidak terlihat pada mata kasar, tetapi kesannya sangat besar. Kaunselor kami hadir untuk memberikan ruang selamat bagi mereka meluahkan perasaan, sekali gus membantu memulihkan kestabilan emosi,” ujar beliau.

Tambah beliau, UPSI kini merancang pelaksanaan fasa kedua bantuan yang akan memfokuskan kepada kerja-kerja pembersihan pasca banjir serta penyediaan bantuan lanjutan bagi mempercepat pemulihan kawasan terjejas.