Pulau Pinang, 7–8 Disember 2025 – Pusat Kajian Inklusif bagi Komuniti dan Orang Kurang Upaya (CIRCLE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah dijemput oleh Kerajaan Negeri Perak bagi menyertai sesi libat urus dasar dan pelan tindakan pembangunan kesejahteraan sosial Negeri Perak.

Program berprestij tersebut berlangsung selama dua hari di Bayview Beach Resort, Pulau Pinang dan dipengerusikan oleh oleh YB Dato Salbiah Mohamed, Exco Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Perak.

Sesi libat urus ini bertujuan menggubal rangka tindakan yang menjurus kepada pembangunan sosial secara holistik khususnya bagi kumpulan komuniti rentan seperti Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, miskin tegar, kanak-kanak dan kumpulan berisiko sosial di Negeri Perak.

Melalui penyertaan ini, UPSI diberi peranan untuk berkongsi dapatan penyelidikan terkini, model intervensi sosial berasaskan bukti, serta rangka pembangunan kapasiti yang telah dibangunkan menerusi penyelidikan CIRCLE.

YB Dato Salbiah Mohamed, menegaskan komitmen Kerajaan Negeri Perak bahawa pembangunan sosial Negeri Perak perlu bergerak secara bersifat inklusif, telus dan mengangkat martabat komuniti rentan.

Kerajaan Perak menekankan 3 kompenon Sejahtera di bawah Negeri Perak iaitu Sejahtera Politik, Sejahtera Ekonomi dan Sejahtera Sosial.

“Peranan pakar seperti UPSI amat diperlukan dalam memastikan setiap intervensi mempunyai asas ilmiah, memberi impak yang nyata dan diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat secara langsung.”

Turut dibincangkan dalam sesi ini ialah strategi pelaksanaan aktiviti tahunan 2026-2030 yang merangkumi aspek intervensi penyeldikan inklusif, pengukuhan komuniti sokongan OKU, peningkatan akses perkhidmatan sosial di peringkat daerah, serta pelaksanaan program pembangunan kesejahteraan yang berfokuskan pengupayaan komuniti rentan.

Melalui sesi teknikal bersama Exco dan beberapa agensi kerajaan, CIRCLE UPSI mencadangkan pembangunan pelan strategik berlandaskan data empirikal sebagai penyelesaian jangka panjang kepada keperluan kelompok rentan di Negeri Perak.

Pengarah CIRCLE, Dr. Hasrul Bin Hosshan, menyatakan bahawa penyertaan UPSI dalam sesi ini memberi mandat ke arah memperkasa ekosistem sosial di Negeri Perak melalui pendekatan penyelidikan, advokasi dan pengembangan intervensi berfokuskan kesejahteraan komuniti.

Menurut beliau, langkah ke hadapan ini membolehkan dasar dan pelan tindakan negeri dilaksana secara inklusif dan responsif selaras agenda pembangunan sosial negara.

CIRCLE terlibat dalam sesi perbincangan teknikal bersama Institut Darul Ridzuan (IDR), Sekretariat Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (SPW) serta Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) bagi memuktamadkan teras dan pelan tindakan sosial negeri.

Majlis libat urus ini turut dihadiri pembuat-pembuat dasar kerajaan negeri Perak, ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Perak (DUN); agensi kerajaan negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat, institusi sosial, pertubuhan komuniti serta pemegang taruh berkaitan.

Usaha bersepadu ini dijangka menghasilkan dokumen polisi dan rangka tindakan kesejahteraan sosial Negeri Perak yang menjadi rujukan utama dalam pelaksanaan inisiatif sosial peringkat negeri bermula tahun 2026.

Dengan penyertaan rasmi UPSI melalui CIRCLE sebagai pusat teknikal dan penyelidikan, sesi ini menandakan permulaan kerjasama berimpak tinggi antara pihak akademia dan kerajaan negeri dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti rentan secara terancang, inklusif dan mampan.

CIRCLE akan meneruskan komitmen dalam pemantauan, penilaian dasar serta pelaksanaan intervensi berskala negeri bagi memastikan agenda pembangunan sosial Negeri Perak terus diperkasakan.