Oleh: Dr Kama Shaffeei dan Nur Iman Safiah Mohamad Zuki

Purwakarta, 19–20 November 2025 – Seminar Antarabangsa bertemakan “Information to Enhance Teaching Technique” telah berjaya dilaksanakan di Sekolah Dasar Laboratorium UPI Purwakarta, Indonesia, menerusi kerjasama rapat dengan Sekolah Seri Budiman, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Program dua hari ini menghimpunkan barisan tokoh pendidikan, pentadbir sekolah, guru, mahasiswa serta wakil industri dari Malaysia dan Indonesia bagi memperkaya amalan pedagogi, memperkukuh jaringan antarabangsa dan memantapkan inovasi dalam dunia pendidikan.

Delegasi Malaysia yang diketuai oleh Dr. Kama Shaffeei, Adjunct Professor di Prodi PGSD Kampus Purwakarta dan Chief of Education Sekolah Seri Budiman, turut dianggotai oleh Shukri Ali,Penasihat Teknikal UPSI Holdings, Dr. Mohamad Ilmee Mohammad Zain selaku panel penilai,Rohani Basran, Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Kebangsaan Sungai Selisek; Haslina Abdullah, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Gesir Tengah; dan Puan Norizan Mohd Tajuddin, Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Sepuluh,Lekir, Perak.

Turut serta dua orang wakil guru Sekolah Seri Budiman iaitu Sharifah Nuraini dan Nur Iman Safiah, wakil Pinkast Sdn. Bhd. iaitu Jamali Mokhtar dan Nin Fitri, serta Muzammir Muhammad daripada Cleanex Solutions Sdn. Bhd.

Delegasi ini disambut mesra pada jam 8.30 pagi waktu Indonesia oleh Bpk Asep Nurhuda M.Pd, bersama mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi Kabupaten Purwakarta.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan daripada pengerusi seminar pihak Indonesia, diikuti dengan ucapan balas oleh Dr. Kama Shaffeei dan wakil UPI Purwakarta, Bpk Asep Nurhuda M.Pd. Dalam ucapannya, Dr. Kama menekankan visi bersama untuk memperkukuh hubungan dua hala dalam ruang lingkup pendidikan, manakala Bpk Asep menzahirkan rasa penghargaan atas kehadiran delegasi Malaysia serta harapan agar seminar ini menjadi platform penting untuk memperkayakan amalan pengajaran kedua-dua negara.

Seminar diteruskan dengan sesi pembentangan wakil Malaysia pada 19 November 2025. Puan Sharifah membuka tirai pembentangan melalui inovasi AI Book for Learning yang merupakan inovasi pendidikan yang direka bentuk untuk mengintegrasikan pembelajaran digital dan pembelajaran berasaskan aktiviti dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris bagi murid Tahap 1, diikuti oleh Cik Nur Iman Safiah yang mengetengahkan inovasi Kamus Digital Al-Atfal, satu alat bantu PdP berasaskan teknologi yang dibangunkan untuk memudahkan pengajaran Bahasa Arab peringkat kanak-kanak.

Sesi diakhiri oleh Puan Rohani Basran yang berkongsi amalan terbaik SK Sungai Selisek, mempamerkan pendekatan PdP efektif yang telah memberi impak positif kepada murid di sekolahnya.

Pada 20 November 2025, seminar diteruskan dengan siri pembentangan kedua. Puan Haslina berkongsi kajian dan amalan penggunaan Pink Board dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, manakala Puan Norizan membentangkan pembangunan instrumen penilaian Program Transisi Kerjaya Murid Berkeperluan Pendidikan Khas Sekolah Menengah.

Pembentangan turut diperkaya dengan perkongsian daripada wakil industri, iaitu Encik Jamali dan Encik Nin dari Pinkast Sdn. Bhd., yang memperkenalkan penggunaan Smartboard dan Class Sathi dalam pengajaran dan pembelajaran bilik darjah.

Seterusnya, Encik Muzammir Muhammad mewakili Cleanex Solutions menjelaskan bagaimana teknologi boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan keberkesanan pengurusan pendidikan.

Dari pihak Indonesia, Bpk Asep Nurhuda, M.Pd membentangkan model pembelajaran yang sedang dilaksanakan di institusi pendidikan bawah naungannya.

Sesi dialog dan rumusan bersama Dr. Kama dan Bpk Asep pada penghujung seminar telah memperhalusi pelbagai dapatan dan hala tuju masa depan.

Kedua-duanya sepakat bahawa seminar ini membuka ruang kerjasama lebih luas, khususnya dalam pembangunan inovasi PdP, peningkatan kompetensi guru, pemantapan dasar pendidikan setempat serta kerjasama industri-akademia.

Seminar ini turut menghasilkan beberapa inisiatif penting seperti penubuhan Inkubator Smart Class di SD Laboratorium UPI melalui inisiatif Profesor Adjung serta cadangan kerjasama rasmi dengan DISDIK Kabupaten Purwakarta. Selain itu, Cleanex Solutions memperkenalkan konsep Smart School System sebagai model pengurusan sekolah masa depan.

Seminar ini juga membuka peluang pengantarabangsaan melalui lawatan penanda aras melibatkan Haslina Abdullah, Rohani Basran dan Dr. Ilmee Mohammad Zin. Malah, dua produk inovasi Malaysia—AI Book for Learning dan Kamus Digital Al-Atfal—dibincangkan untuk dikomersialkan pada peringkat antarabangsa. Dalam perbincangan semasa seminar, cadangan penubuhan sekreteriat turut dicadangkan oleh Encik Shukri.

Majlis turut disempurnakan dengan sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) merangkumi tiga kerjasama utama, iaitu antara Sekolah Rendah Seri Budiman dan Sekolah Purwakarta, antara Pusat Inisiatif Permodenan Pendidikan (NICE), Universiti Pendidikan Sultan Idris, dan Institusi Pendidikan Tinggi Purwakarta, serta antara NICE, UPSI, dan sekolah-sekolah Purwakarta. Sesi pertukaran cenderamata, bergambar dan jamuan makan menutup program dengan penuh meriah dan bermakna.

Dengan berakhirnya seminar ini, diharapkan hubungan strategik antara Malaysia dan Indonesia akan terus berkembang dengan lebih kukuh melalui pelaksanaan projek bersama, penyelidikan rentas negara, inovasi pendidikan serta pertukaran kepakaran secara berterusan. Seminar ini bukan sahaja mengukuhkan jaringan pendidikan dua negara, tetapi turut membuka ruang kerjasama yang mampu memberi impak besar kepada murid, guru dan ekosistem pendidikan global.

Harapan besar diletakkan agar segala inisiatif yang dicetuskan dapat direalisasikan dalam masa terdekat sebagai usaha memperkasa pendidikan serantau dan memacu transformasi pendidikan masa hadapan.