Oleh Radhia Hanifa Ibrahim Abdul
TANJONG MALIM, 23 November 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Sukan dan Kelab Bola Jaring UPSI berjaya menganjurkan Kursus Kepengadilan Bola Jaring Tahap Pengenalan Peringkat Kebangsaan 2025 dengan kerjasama Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) dan Persatuan Bola Jaring Negeri Perak (PBJPk).
Kursus selama tiga hari yang berlangsung dari 21 hingga 23 November 2025 di Bilik Mesyuarat Marina dan Arena UPSI, Tanjong Malim itu disertai seramai 30 peserta terdiri daripada mahasiswa, mahasiswi serta staf UPSI.
Program ini menumpukan kepada pemantapan ilmu kepengadilan melalui modul teori dan praktikal, termasuk sesi simulasi perlawanan di Arena UPSI bagi membolehkan peserta merasai situasi sebenar pengadilan serta memahami aplikasi peraturan mengikut standard PBJM dan World Netball.
Menurut Penasihat Kelab Bola Jaring UPSI, Datin Wan Nurul Hidayu, kursus berkenaan berperanan penting dalam melahirkan pengadil yang fasih dalam peraturan permainan serta mampu membuat keputusan secara adil dan profesional.
Beliau menegaskan bahawa UPSI sentiasa optimis dalam menganjurkan program pembangunan sukan yang diiktiraf oleh badan sukan kebangsaan dan berharap kursus ini dapat diteruskan pada masa hadapan untuk membuka lebih banyak peluang latihan lanjutan kepada peserta berpotensi.
Pengerusi Pengadil PBJM, Suraya Abdul Manaf, yang mengetuai kursus tersebut, berkata pelaksanaan latihan teori dan praktikal adalah penting bagi memperkukuh kefahaman peserta terhadap peraturan dan etika pengadilan.
Beliau menekankan bahawa pengadil yang berpengetahuan dan berketrampilan akan memastikan mutu perlawanan bola jaring meningkat dari semasa ke semasa.



Instruktor kursus, Puan Norliza Mohd Nawi, menjelaskan bahawa ketangkasan dan kecekapan membuat keputusan ketika perlawanan serta kejelasan isyarat pengadilan merupakan elemen utama yang ditekankan sepanjang kursus.
Sementara itu, Setiausaha PBJPk, Puan Noor A’ini Taharin, hadir pada hari kedua kursus dan memberikan kata-kata semangat kepada peserta agar terus fokus dan komited dalam menjalani program berkenaan.
Antara pengisian kursus termasuk sesi pembelajaran teori mengenai peraturan rasmi bola jaring, latihan pengurusan padang, pendedahan kepada etika dan tanggungjawab pengadil, ujian bertulis serta simulasi perlawanan sebenar.
Penilaian pengadilan praktikal dilakukan oleh jurulatih bertauliah PBJM. Majlis penutup disempurnakan dengan penyampaian sijil kepada peserta yang berjaya menamatkan kursus oleh Puan Suraya.
Penganjuran kursus ini mencerminkan komitmen UPSI dalam memperkukuh pembangunan sukan di peringkat kebangsaan, khususnya dalam melahirkan pengadil bola jaring yang berpengetahuan, beretika dan bersedia ke tahap lebih tinggi.

