Oleh: Fatin Syahirah Yuni Azuar

TANJONG MALIM, 10 Disember 2025 – Program SRHE Fun Walk telah berlangsung dengan penuh meriah di sekitar Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI pada awal pagi ini. Bertemakan kesedaran kesihatan seksual dan reproduktif, acara yang bermula pada jam 7.00 pagi dan berakhir pada 9.00 pagi ini berjaya menghimpunkan seramai  hampir 150 peserta yang terdiri daripada pelajar, staf universiti serta komuniti sekitar Tanjong Malim.

Majlis pelepasan peserta disempurnakan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Che Ghani bin Che Kob, Pengetua UKLK. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa program sebegini bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang HIV/AIDS, malah turut menjadi platform penting dalam membina sikap prihatin dalam komuniti.

Pengetua Unit Kediaman Luar Kampus, Prof. Madya Ts. Dr. Che Ghani bin Che Kob
Slot senamrobik sebelum acara bermula
Pelepasan peserta yang bermula di Padang SITC

“Inisiatif seperti SRHE Fun Walk amat signifikan dalam usaha kita memperkukuh kefahaman mengenai kesihatan seksual dan reproduktif. Ia juga menyatukan komuniti dalam menyokong agenda kesihatan awam. Apabila komuniti kampus bersatu dalam memahami isu kesihatan penting seperti HIV/AIDS, kita sedang membina masa depan yang lebih sihat, lebih empati dan lebih bertanggungjawab,” ujar beliau.

Salah seorang peserta yang terlibat turut berkongsi pengalamannya menyertai program ini.

“Saya rasa program ini membuka mata ramai orang. Aktiviti cap tangan tadi sangat simbolik dan buat saya rasa kita semua mempunyai peranan untuk menghapuskan stigma. SRHE Fun Walk ini juga bagi saya cara yang santai tetapi efektif untuk belajar,” katanya.

Salah satu tarikan utama pada program tahun ini ialah aktiviti cap tangan merah dan hitam pada kain rentang. Cap tangan merah melambangkan solidariti dan sokongan terhadap individu yang hidup dengan HIV/AIDS, manakala cap tangan hitam pula membawa makna penolakan terhadap stigma, diskriminasi dan salah faham berkaitan penyakit tersebut. Kain rentang ini akan dipamerkan di ruang komuniti kampus sebagai simbol komitmen bersama dalam memupuk masyarakat yang lebih inklusif dan berpengetahuan.

Aktiviti cap tangan oleh peserta
Pergerakan peserta menuju ke garisan penamat

Objektif utama penganjuran SRHE Fun Walk ialah meningkatkan kesedaran mengenai HIV/AIDS, mengurangkan stigma serta mengukuhkan kepentingan pendidikan kesihatan seksual dan reproduktif selaras dengan SDG 3 dan SDG 4. Program ini turut mempamerkan semangat kerjasama peserta yang saling menyokong sepanjang aktiviti, manakala aktiviti cap tangan merah dan hitam menjadi simbol solidariti dan penolakan diskriminasi. Secara keseluruhan, impaknya jelas melalui peningkatan pengetahuan, pembinaan komuniti kampus yang lebih prihatin dan berinformasi, serta kesedaran terhadap pentingnya sokongan sosial. Adalah  diharapkan agar  program seperti ini dapat diteruskan dan diperluas pada masa hadapan dengan melibatkan lebih banyak agensi kesihatan serta penambahan aktiviti pendidikan interaktif sebagai cadangan penambahbaikan bagi memperkukuh keberkesanan kempen kesedaran HIV/AIDS di UPSI.