Oleh: Irene Michelle Inta dan Nurin Jaaffar
Program Explore Talent Sulong: Emotional Intelligence and Leadership Championship Camp telah berjaya dianjurkan pada 5 November 2025, bertempat di UPSI Adventure Park.
Program ini melibatkan seramai 50 orang pelajar sulong sebagai peserta utama. Penganjuran program ini merupakan hasil kolaborasi antara Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Kelab PEMADAM UPSI dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP).
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Puan Nurin binti Jaaffar, Pegawai Tadbir N12, Pusat Kaunseling, Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni, yang merangkap Penasihat Kelab PEMADAM UPSI selaku perasmi program dan juga merupakan penceramah untuk program ini. Turut hadir ialah Cik Che Noor Hawa binti Che Ismail, Pegawai Tadbir N12 (Memangku) dari Pusat Kaunseling, JHEPA.


Program ini dirangka bagi mencapai beberapa objektif penting dalam pembangunan sahsiah dan kepimpinan pelajar sulong iaitu membantu peserta mengenali dan memahami emosi diri sendiri serta orang lain secara mendalam, melatih peserta mengurus dan mengelola emosi secara efektif dalam pelbagai situasi, khususnya dalam konteks kepimpinan, meningkatkan kemahiran komunikasi interpersonal, menggalakkan peserta membangunkan gaya kepimpinan berasaskan kecerdasan emosi, melatih peserta membuat keputusan yang seimbang dari aspek emosi dan rasional dan mendorong peserta memotivasikan diri dan orang lain ke arah mencapai matlamat bersama.
Program dimulakan dengan aktiviti luar yang dikendalikan oleh fasilitator Aurora Pusat Kokurikulum. Antara cabaran yang dilalui peserta termasuklah wall climbing, high element, jump ropes dan flying fox.


Walaupun terdapat peserta yang pada mulanya kurang berkeyakinan, mereka berjaya mengatasi rasa takut dan menyelesaikan kesemua checkpoint yang disediakan. Aktiviti ini terbukti mampu meningkatkan keyakinan diri, semangat berpasukan dan ketahanan mental.
Slot kedua diteruskan dengan sesi Emotional Intelligence & Leadership, dikendalikan oleh Puan Nurin binti Jaaffar. Dalam sesi yang interaktif ini, peserta didedahkan kepada teknik mengurus emosi, meningkatkan kesedaran kendiri serta memahami kepentingan kesejahteraan mental dalam menghadapi cabaran akademik dan kehidupan.


Selain itu, program ini juga memberikan impak yang amat positif kepada pelajar sulong. Mereka bukan sahaja memperoleh pengalaman baharu dalam aktiviti lasak, malah berjaya meningkatkan kemahiran komunikasi, ketahanan mental, kecerdasan emosi serta kemahiran kepimpinan.
Penyertaan aktif sepanjang program membuktikan bahawa modul yang dijalankan relevan dan berkesan dalam membangunkan potensi pelajar. Para pelajar sulong yang terlibat juga diharapkan dapat terus memperkukuh kemahiran insaniah, kepimpinan dan kecerdasan emosi yang dipelajari sepanjang program ini. Semoga mereka mampu menjadi generasi UPSI yang lebih berkualiti, berdaya saing dan seterusnya menyumbang kembali kepada universiti apabila bergelar alumni kelak.
