gambar peserta dan penceramah bengkelgambar peserta dan penceramah bengkel

TANJONG MALIM, 23 September 2025 — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Kaunseling berjaya menganjurkan Bengkel Mental Health Kits for Counsellors Siri 1 bertajuk “Trauma Focused ACT: Applications & Approaches” selama dua hari bermula 22 hingga 23 September 2025.

Bengkel yang berlangsung di Bilik Latihan Aminuddin Baki, Fakulti Pembangunan Manusia itu disertai seramai 46 peserta terdiri daripada warga UPSI dan peserta luar, melibatkan bakal kaunselor, pegawai psikologi, pegawai psikologi klinikal, pakar psikiatri serta pasukan perubatan.

Program berkenaan bertujuan memperkasakan kecekapan profesional kesihatan mental dalam mengendalikan klien yang mempunyai sejarah trauma, selaras dengan peningkatan isu kesihatan mental di kampus, sekolah dan komuniti.

Pengisian bengkel dikendalikan oleh Pakar Psikiatri dan Consultation Liaison Psychiatrist, Dr Ahmad Rostam Md Zin dari Hospital Sultanah Bahiyah, yang berkongsi kepakaran serta pengalaman klinikal beliau dalam pengendalian kes trauma menggunakan pendekatan Trauma Focused Acceptance and Commitment Therapy (ACT).

Gambar peserta yang sedang fokus kepada modul yang diajar oleh penceramah
Sesi pendaftaran peserta

Perkongsian kes sebenar dan pengalaman lapangan yang dibentangkan mewujudkan suasana pembelajaran interaktif dan berimpak tinggi sepanjang bengkel dilaksanakan.

Melalui program ini, peserta didedahkan dengan pengetahuan serta kemahiran praktikal secara menyeluruh dalam pengendalian trauma, di samping mempraktikkan pendekatan intervensi yang berkesan dan beretika.

Bengkel berkenaan turut dilihat sebagai inisiatif awal pencegahan kes trauma di kampus dan komuniti serta berpotensi menjadi penanda aras kepada universiti awam lain dalam pengendalian kes kesihatan mental.

Secara keseluruhan, penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen berterusan UPSI dalam memperkasa kesejahteraan mental warga universiti dan masyarakat secara holistik.