Sesi pembukaan Program Pembangunan Pacu Prestasi Lonjak PotensiSesi pembukaan Program Pembangunan Pacu Prestasi Lonjak Potensi

Oleh: Irene Michelle Inta Dan Puan Nurin Jaaffar

Tanjong Malim – Program Pembangunan Akademik Siri 2: Pacu Prestasi, Lonjak Potensi telah berjaya diadakan pada 22 Oktober 2025 (Rabu), bermula dari pagi hingga 1.00 Tengah Hari.

Program ini merupakan kolaborasi penting antara Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Kelab PEMADAM UPSI, serta dijalankan sepenuhnya secara dalam talian melalui platform ZOOM dan Live Facebook Pusat Kaunseling UPSI.

 Program ini dirancang dengan matlamat utama untuk memberikan kesedaran kepada pelajar tentang kepentingan meningkatkan prestasi akademik, memberikan pendedahan kepada strategi pembelajaran yang terbukti berkesan untuk mencapai kecemerlangan akademik dan meningkatkan motivasi dan keyakinan diri pelajar untuk kecemerlangan akademik.

Seramai 500 orang peserta yang terdiri daripada pelajar UPSI dan IPTA lain telah menjadi sasaran utama program ini.

Sesi ucapan Perasmian Program bersama Dr. Nurul Hasyimah Bt Mat Rani,Pengarah Pusat Kaunseling UPSI
Penceramah, En. Mohd Norhafifi seorang Pegawai Psikologi Kanan (S10) daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia menunjukkan semangat yang luar biasa dalam mengendalikan sesi ceramah
Kesungguhan dan semangat peserta terserlah sepanjang aktiviti berlangsung. Dalam suasana santai dan tenang, moderator, Aleesha Zakirah begitu profesional berjaya mengendalikan sesi bersama-sama dengan penceramah mengupas isu satu demi satu demi memastikan penyampaian sampai ke pelusuk sanubari peserta yang hadir

 Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Dr. Nurul Hasyimah Bt Mat Rani, Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Dalam ucapan perasmiannya, beliau berjaya menaikkan semangat tetamu jemputan, peserta, dan ahli jawatankuasa dengan kata-kata semangat, dan berharap agar kehadiran pelajar menjadi langkah pertama menuju generasi masyarakat yang menghargai akademik.

Penceramah jemputan bagi program ini ialah Encik Mohd Norhafifi Bin Zolkiaply, Pegawai Psikologi Kanan (S10) dari Pusat Kaunseling Dan Kerjaya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Turut hadir ialah Puan Nurin Bt Jaaffar, Timbalan Pendaftar Pusat Kaunseling UPSI merangkap Penasihat Kelab PEMADAM UPSI.

Suasana program dalam talian menjadi lebih bermakna dan interaktif berkat kemesraan dan semangat kebersamaan yang ditonjolkan oleh penganjur.

Keterlibatan aktif penceramah dan peserta dalam sesi perkongsian dan perbincangan membuktikan komitmen tinggi terhadap pembangunan akademik dan kesejahteraan diri.

Detik kemuncak program dapat dirasai ketika sesi perkongsian utama bersama En. Mohd Norhafifi yang menyampaikan ceramah dengan semangat luar biasa.

Sesi ini bukan sahaja perkongsian ilmu, malah membantu pelajar melepaskan diri daripada tekanan stres akibat kegagalan akademik sebelum ini, dengan langkah-langkah proaktif yang sesuai dengan zaman moden. Sesi soal jawab yang interaktif turut mencetuskan perbincangan bermakna.

Pelajar diberikan peluang untuk berinteraksi terus dengan penceramah dan menanyakan soalan atau solusi terbaik bagi permasalahan yang membelenggu mereka.

Penceramah, En Mohd Hafifi juga menegaskan bahawa pelajar dapat meringankan bebanan di kepala tentang menanggap bahawa perjalanan dalam kehidupan ini tidak lain dan tidak bukan adalah sebuah pengembaraan
Detik kemuncak program,apabila sesi soal jawab berlangsung dimana pelajar diberikan peluang untuk berinteraksi secara terus dengan penceramah, En Mohd Hafifi

 Oleh itu, program Pembangunan Akademik Siri 2 ini telah memberi impak positif yang besar kepada para peserta. Impak tersebut merangkumi pengukuhan kemahiran belajar, peningkatan motivasi, dan perluasan kefahaman tentang strategi pengurusan akademik yang efektif.

Program ini bukan sahaja menyokong usaha universiti dalam melahirkan pelajar cemerlang dari segi akademik dan sahsiah, malah memperkukuh peranan Pusat Kaunseling UPSI sebagai medium sokongan psikologi dan akademik kepada warga pelajar.