Oleh: DR. VESTLY KONG LIANG SOON, DR. HJH. NORAINI BINTI ABDULLAH & POLLIE LIM POH YUE

Tanjong Malim, 27 November 2025 – Semangat kepimpinan dan nostalgia disatukan dalam sebuah majlis penuh bermakna menerusi Program LEAD 2.0: Passing the Torch anjuran Majlis Tertinggi Persatuan Mahasiswa Program Pendidikan Khas (PM2PK). Program yang berlangsung di Bilik Aminuddin Baki dan Bilik Za’aba ini berjaya dilaksanakan dengan jayanya berteraskan tema “Retro” yang mencerminkan kesinambungan legasi kepimpinan persatuan.

Program LEAD 2.0 merupakan satu inisiatif penjenamaan semula daripada acara tradisi Mesyuarat Agung Tahunan (AGM). Transformasi ini bukan sekadar perubahan nama, malah membawa simbolik kepada permulaan era baharu dalam landskap kepimpinan PM2PK. Pendekatan baharu ini mencerminkan aspirasi persatuan untuk terus relevan, progresif dan dinamik seiring keperluan semasa mahasiswa.

Majlis ini telah disempurnakan oleh Ketua Jabatan Pendidikan Khas, Dr. Hajah Noraini Binti Abdullah, serta diiringi oleh Penasihat Persatuan, Dr. Vestly Kong Liang Soon. Kehadiran barisan kepimpinan lama (mantan), kepimpinan baharu, serta Ketua dan Bendahari bagi setiap kohort telah memeriahkan lagi majlis. Para hadirin turut mengenakan pakaian bertemakan “Retro”, sekali gus mewujudkan suasana santai, ceria namun tetap mengekalkan adab dan profesionalisme.

Objektif utama penganjuran LEAD 2.0 adalah untuk menzahirkan penghargaan dan apresiasi setinggi-tingginya kepada barisan kepimpinan PM2PK sesi 2024/2025 yang telah menunjukkan komitmen tinggi serta dedikasi dalam memacu aktiviti dan agenda persatuan. Sesi penghargaan khas melalui penyampaian sijil dan majlis makan malam telah menjadi detik penuh emosi, kenangan serta ukhuwah dalam kalangan ahli.

Selain itu, program ini turut berperanan sebagai platform strategik bagi mengukuhkan hubungan dan kesinambungan antara kepimpinan lama dan baharu. Pembentangan daripada Jabatan Setiausaha, Jabatan Bendahari dan Jabatan Yang Dipertua telah memberikan pendedahan menyeluruh tentang hala tuju, pengurusan dan perancangan persatuan. Perkongsian ini diharap dapat membantu barisan kepimpinan baharu dalam meneruskan kecemerlangan pengurusan persatuan secara lebih berkesan dan berintegriti.

Secara keseluruhannya, LEAD 2.0: Passing the Torch bukan sahaja menjadi medan peralihan kepimpinan, malah simbol penyatuan generasi pemimpin PM2PK dalam satu semangat perjuangan yang sama. Diharapkan obor kepimpinan yang diserahkan akan terus menyala terang di tangan barisan kepimpinan baharu, seterusnya membawa Persatuan Mahasiswa Program Pendidikan Khas ke arah kecemerlangan yang lebih gemilang serta memberi impak positif kepada warga Universiti Pendidikan Sultan Idris.