Oleh: Che Noor Hawa Che Ismail
TANJONG MALIM, 30 September 2025 – Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan program “Scandal dalam Universiti: Trend @ Nafsu?!!” pada 30 September 2025, dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari menerusi aplikasi Zoom dan siaran langsung Facebook (FB Live) Pusat Kaunseling.
Program kesedaran ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila seramai 373 orang peserta telah mendaftar kehadiran melalui Google Form, memberikan maklum balas program serta menerima e-sijil penyertaan, manakala siaran FB Live turut mencatatkan 1.6 ribu tontonan sepanjang program berlangsung.
Penganjuran secara dalam talian ini telah membolehkan penyertaan meluas daripada warga universiti dan masyarakat umum.
Program ini telah menampilkan dua penceramah berpengalaman iaitu Tn. Hj. Hushim Salleh, Penceramah Pakar dan Pemilik Klinik Kaunseling Hushim Motivational & Counselling Consultancy, serta Encik Muhammad Hasbi Abdul Rahman, Pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), UPSI.
Penceramah telah mengupas secara mendalam punca berlakunya skandal dalam institusi pengajian tinggi, kesan terhadap reputasi universiti, prestasi kerja, serta implikasi terhadap kesihatan mental dan kebajikan kakitangan serta pelajar.



Antara objektif utama program ini adalah untuk menilai sama ada fenomena skandal di universiti merupakan satu trend sosial atau didorong oleh nafsu serta penyalahgunaan kuasa, di samping menekankan kepentingan menjaga integriti institusi pengajian tinggi bagi menjamin kepercayaan masyarakat terhadap universiti.
Perkongsian kes sebenar dan pengalaman profesional oleh penceramah telah menjadikan sesi ceramah lebih bermakna, sekali gus menarik perhatian peserta untuk kekal fokus sepanjang program dilaksanakan.
Sorotan menarik program ini adalah sesi soal jawab yang berlangsung secara aktif dan tidak putus-putus sehingga ke akhir program, mencerminkan tahap keprihatinan serta kesedaran tinggi dalam kalangan peserta terhadap isu integriti dan etika di universiti.
Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya menyumbang kepada usaha mewujudkan suasana pembelajaran dan persekitaran kerja yang positif di UPSI dengan menanamkan rasa selamat, gembira dan sejahtera dalam kalangan warganya.
Pembentukan budaya akademik yang bersih, telus, beretika serta bebas daripada salah laku dan penyalahgunaan kuasa telah ditekankan sebagai langkah pencegahan awal bagi memelihara integriti akademik serta memastikan persekitaran pembelajaran yang adil, selamat dan profesional.
