Oleh : Che Noor Hawa Che Ismail
TANJONG MALIM, 28 Oktober 2025 – Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan program kesedaran bertajuk “Toksik di Universiti atau ‘Selfish’?” pada 28 Oktober 2025, dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari menerusi aplikasi Zoom dan siaran langsung Facebook (FB Live) Pusat Kaunseling UPSI.
Program ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan apabila seramai 311 orang peserta telah mendaftar kehadiran melalui Google Form, memberikan maklum balas program serta menerima e-sijil penyertaan.
Penganjuran secara dalam talian telah membolehkan penyertaan meluas daripada warga universiti merangkumi kakitangan dan pelajar serta masyarakat luar.


Program ini telah menampilkan penceramah berpengalaman iaitu Prof. Mohammad Aziz Shah, Pensyarah Universiti dari Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), UPSI, serta moderator program iaitu Encik Muhammad Syamim Aiman bin Abd Hamid, Pegawai Tadbir Pusat Kaunseling UPSI.
Kedua-dua penceramah dan moderator telah mengupas isu persekitaran toksik dalam organisasi universiti secara komprehensif, termasuk tingkah laku dan faktor utama yang menyumbang kepada suasana kerja dan pembelajaran yang negatif.
Antara objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kefahaman peserta terhadap kesan persekitaran toksik terhadap reputasi institusi, prestasi kerja serta kebajikan kakitangan dan pelajar.
Selain itu, program ini turut menekankan keupayaan membezakan antara tingkah laku yang bersifat ‘selfish’ dengan tindakan perlindungan diri yang wajar dalam konteks organisasi, agar warga universiti dapat bertindak secara lebih profesional dan beretika.

Sorotan utama program adalah perkongsian kes dan pengalaman sebenar oleh penceramah yang telah berjaya menarik perhatian peserta dan mengekalkan fokus mereka sepanjang ceramah berlangsung.
Sesi soal jawab juga berlangsung secara aktif dan berterusan sehingga ke akhir program, mencerminkan tahap keprihatinan serta kesedaran tinggi dalam kalangan peserta terhadap isu kesejahteraan persekitaran kampus.
Secara keseluruhannya, pelaksanaan program ini telah berjaya meningkatkan kesedaran warga UPSI mengenai kepentingan mewujudkan suasana pembelajaran dan persekitaran kerja yang harmoni serta bebas daripada unsur toksik.
Program ini turut menekankan nilai integriti, komunikasi berhemah dan tanggungjawab bersama dalam membina budaya universiti yang positif, sekali gus memberi impak apabila peserta dilaporkan lebih peka, lebih yakin untuk bertindak secara profesional dan lebih komited dalam menyokong persekitaran UPSI yang selamat, selesa dan kondusif.
