Oleh: Ahmad Thaqif Zainudin
Tanjong Malim, 17 Disember 2025 – Persatuan Pendidikan Islam (PPI), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya menganjurkan Pameran Seni Khat dan aktiviti Tahsin al-Fatihah bersempena Karnival Badan Pelajar 2025 yang dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP).
Program berkenaan bertujuan mempamerkan penglibatan persatuan badan pelajar yang berdaftar di bawah UPSI, selain menawarkan pelbagai aktiviti menarik sepanjang karnival berlangsung. Sepanjang penganjuran karnival itu, reruai pameran PPI menerima sambutan menggalakkan daripada pengunjung.


Antara pengisian utama ialah aktiviti Tahsin al-Fatihah yang memberi bimbingan kepada orang awam bagi membetulkan bacaan Surah al-Fatihah. Aktiviti ini dipimpin oleh nuqaba terlatih dalam kalangan pelajar Persatuan Pendidikan Islam. Usaha berkenaan dilihat penting memandangkan Surah al-Fatihah merupakan rukun dalam solat lima waktu umat Islam, yang menuntut ketepatan bacaan dari aspek tajwid dan makhraj setiap huruf serta kalimah.


Selain itu, pameran seni khat turut menarik minat pengunjung untuk melihat hasil karya yang dipamerkan, di samping perkhidmatan tempahan tulisan khat nama sebagai cenderamata. Inisiatif ini secara tidak langsung membuka ruang kepada orang ramai untuk mengenali dan menghayati keindahan seni khat Islam.
Penganjuran program ini juga memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengasah bakat dan potensi diri dalam bidang seni khat, selain memperkukuh kemahiran bacaan al-Quran melalui aktiviti Tahsin al-Fatihah yang dijalankan. Penglibatan aktif pengunjung dan ahli persatuan jelas mencerminkan minat positif terhadap aktiviti berunsur kerohanian dan kesenian Islam.
Program berkenaan turut berperanan sebagai medium dakwah yang santai namun berkesan dalam menyampaikan nilai-nilai Islam kepada warga kampus, sekali gus menyemarakkan budaya ilmu dan penghayatan Islam dalam kalangan mahasiswa UPSI.
Secara keseluruhannya, usaha Persatuan Pendidikan Islam (PPI) ini diharap dapat mendedahkan kaedah bacaan Surah al-Fatihah yang betul sebagai rukun solat harian kepada masyarakat secara lebih meluas, selain mengangkat seni khat sebagai satu bentuk seni Islam yang wajar diketengahkan kepada umum.
