PATTANI, Thailand, 15 Oktober 2025 — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) dengan kerjasama Pusat Kaunseling menganjurkan Program International CSR di Selatan Thailand dari 15 hingga 19 Oktober 2025 bagi memperkukuh jaringan akademik dan khidmat komuniti antarabangsa.
Program yang berlangsung dari 7 pagi hingga 7 malam itu dilaksanakan di Universiti Fatoni, Pattani, Sekolah Samakkeetham Witya, Pattani serta kawasan setempat, dengan sasaran peserta melibatkan warga Universiti Fatoni dan seramai 40 pelajar Sekolah Samakkeetham Witya.



Pengarah Program, Che Noor Hawa Che Ismail berkata penganjuran program berkenaan bertujuan mewujudkan platform pertukaran ilmu serta amalan terbaik dalam pengurusan bidang kaunseling antara dua institusi, selain melaksanakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama komuniti setempat.
“Hari pertama program memfokuskan kepada perkongsian amalan terbaik Pusat Kaunseling UPSI bersama Fakulti Pendidikan Universiti Fatoni, merangkumi perkhidmatan bimbingan dan kaunseling, penilaian psikometrik, intervensi krisis dan trauma, Psychological First Aid (PFA) serta penggunaan Sistem MyCounselor,” katanya.
Beliau berkata perbincangan turut diadakan bagi meneroka peluang kerjasama dan mempromosikan program Fakulti Pembangunan Manusia, khususnya Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak serta Jabatan Bimbingan dan Kaunseling kepada warga Universiti Fatoni.
Sementara itu, program hari kedua memberi tumpuan kepada aktiviti bimbingan kelompok dan motivasi pembelajaran kepada pelajar Sekolah Rendah Samakkeetham Witya, selain pendedahan pengajaran dan pembelajaran di peringkat antarabangsa oleh pelajar UPSI yang mengajar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris kepada pelajar Tahun 4 hingga 6.


“Pendekatan pembelajaran melalui bermain (play-based learning) dengan tema ‘Tiada Kata Secantik Bahasa Melayu & Fun With English!’ turut dilaksanakan bagi meningkatkan minat dan penguasaan bahasa dalam kalangan pelajar,” katanya, sambil menambah sesi perbincangan bersama guru-guru sekolah turut diadakan bagi mempromosikan pengajian pascasiswazah di UPSI.


Delegasi UPSI diketuai Dr Nurul Hasyimah binti Mat Rani dan disertai seorang kaunselor Pusat Kaunseling, dua pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak serta enam pelajar dari Fakulti Pembangunan Manusia, Fakulti Bahasa dan Komunikasi dan Fakulti Sains dan Matematik, manakala pihak Universiti Fatoni diwakili Timbalan Rektor Akademik, Profesor Madya Dr Muhammad Sree Manyunu, barisan pentadbiran fakulti serta wakil Pejabat Antarabangsa universiti itu.
