Oleh: Jyothi A/P Panchasaram

Tanjong Malim, 13 Disember 2024- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE) bersama UPSI Financial Planning Club menganjurkan Saham 101 bertujuan untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa tentang konsep asas saham, fungsi pasaran saham, dan teknik pengurusan risiko dalam pelaburan.

Program ini berlangsung di Bilik Seminar, FPE dengan menampilkan penceramah dari Malaysian Financial Planning Council (MFPC), Lee Poh Jang. Bengkel ini direka khas untuk memperkenalkan pelbagai jenis saham, risiko, dan manfaat kepada para peserta. Selain itu, mahasiswa juga akan dibimbing mengenai langkah-langkah awal untuk memulakan pelaburan dengan lebih yakin dan berpengetahuan.

Bengkel ini tidak hanya memberikan ilmu teori, tetapi juga memupuk kemahiran insaniah seperti berkomunikasi, menyelesaikan masalah, dan pemikiran kritikal. Peserta diharapkan dapat memahami hubungan antara risiko dan ganjaran dalam pelaburan serta memanfaatkan analisis data untuk membuat keputusan yang lebih bijak. Selain itu, ia juga menyokong matlamat pembangunan mampan (SDG) seperti pendidikan berkualiti, pekerjaan yang layak, dan pengurangan ketidaksamaan.

Antara aktiviti dalam bengkel ini ialah sesi ceramah, perbincangan interaktif, dan penyampaian sijil kepada peserta. Penganjur juga menyediakan cenderamata kepada tetamu jemputan sebagai tanda penghargaan. Dengan yuran penyertaan ditanggung oleh fakulti, program ini menjadi peluang unik bagi mahasiswa UPSI untuk meningkatkan literasi kewangan mereka.

Saham 101 adalah inisiatif penting untuk memperkasa mahasiswa UPSI dalam dunia kewangan dan pelaburan. Dengan sokongan penuh daripada FPE, program ini diharapkan dapat melahirkan generasi pelabur muda yang berilmu dan bijak membuat keputusan kewangan.