Oleh: Mohammad Alif Elfarez Almond
Banda Aceh, Indonesia, 19 Disember 2024 – Dalam semangat membantu komuniti yang terkesan oleh musibah, Delegasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk Program Beyond Borders yang diketuai oleh Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMKHAR) telah melangkah jauh untuk menyalurkan bantuan kepada Pesantren Babul Maghfirah, Banda Aceh, sebuah institusi pendidikan Islam yang telah diuji dengan dua kejadian kebakaran besar dalam beberapa tahun terakhir.
Program Beyond Borders, yang mengutamakan bantuan kepada komuniti, telah menyalurkan pelbagai jenis sumbangan yang amat diperlukan oleh pelajar dan pengurusan pesantren.
Antara bentuk sumbangan yang telah disampaikan ialah berbentuk wang ringgit, tudung, sejadah dan al-Quran.


Ini adalah untuk digunakan bagi membantu pemulihan infrastruktur yang musnah akibat kebakaran, memenuhi keperluan pakaian pelajar perempuan yang terjejas, menyokong aktiviti ibadah di kalangan pelajar dan membantu pelajar meneruskan pembelajaran agama dan hafalan mereka.
Kesemua sumbangan ini bukan sahaja memberikan bantuan material tetapi juga membina kembali semangat pelajar dan kakitangan yang terdampak.
Perkongsian berkenaan dengan kronologi kebakaran ini adalah pada kebakaran pertama melanda kawasan asrama perempuan dan surau, menyebabkan kerosakan besar kepada infrastruktur dan memusnahkan tempat tinggal serta pusat ibadah para pelajar.
Akibat insiden itu, pelajar perempuan terpaksa dipindahkan ke ruang kelas yang dijadikan tempat penginapan sementara.


Meskipun keadaan ini tidak ideal, ia mencerminkan semangat juang pelajar dan tenaga pengajar untuk terus memastikan pendidikan dan kehidupan harian berjalan lancar.
Malangnya, pada bulan Januari 2024, kebakaran kedua berlaku, sekali lagi memberi tamparan hebat kepada pihak pesantren.
Namun, dalam setiap ujian terdapat hikmah, dan solidariti masyarakat antarabangsa, terutamanya melalui Program Beyond Borders, telah membawa harapan baru kepada Pesantren Babul Maghfirah.
Pengarah Program Beyond Borders, Siti Nurzahirah Zulkifli berharap agar hubungan yang telah terjalin ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim Malaysia-Indonesia melalui program-program komuniti yang bagus seperti ini.
Menurut beliau juga, program ini bukan sekadar memberikan sumbangan tetapi ia juga simbolik dan langkah untuk membangunkan masa depan masyarakat
Menurut Pengetua KHAR, Dr. Che Anuar Che Abdullah berkata, “Diharapkan agar program sumbangan dan komuniti yang telah diusahakan oleh MMKHAR ini dapat diteruskan pada masa akan datang.” Beliau juga berharap agar sumbangan yang telah diberikan ini dapat memberikan impak positif kepada semua pihak yang terlibat dalam memberi dan menerima sumbangan.
Pihak pengurusan Pesantren Babul Maghfirah mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Program Beyond Borders dan para penyumbang yang telah memberikan bantuan ikhlas. “Bantuan ini amat bermakna buat kami, bukan sahaja untuk membangunkan semula apa yang telah musnah, tetapi juga untuk memperkuatkan keyakinan kami dalam mengharungi ujian ini,” kata salah seorang wakil pengurusan pesantren.
