Oleh: Bazli Razak

TANJUNG MALIM, 27 Januari 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bakal menganjurkan Forum Pendidikan Tinggi Malaysia dan Uzbekistan bertempat di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAS), UPSI yang dijadualkan berlangsung pada 4 Februari 2025 nanti.

Menurut Timbalan Menteri Luar Negeri Uzbekistan, H.E. Mr. Ilkhom Khaydarov, forum tersebut dijangka menjadi platform penting bagi memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Uzbekistan dalam sektor pendidikan tinggi.

“Forum ini bakal menghimpunkan para akademik, pakar pendidikan, serta pembuat dasar dari kedua-dua negara untuk membincangkan pelbagai isu strategik dan peluang kerjasama dalam bidang pendidikan.

“Malaysia dan Uzbekistan mempunyai banyak persamaan dalam komitmen terhadap bidang pendidikan tinggi.

Timbalan Menteri Luar Negeri Uzbekistan, H.E. Mr. Ilkhom Khaydarov (enam dari kanan) bersama delegasi bergambar bersama pengurusan tertinggi UPSI ketika mengadakan kunjungan rasmi di Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

“Forum ini memberikan peluang unik untuk kami bertukar pandangan dan pengalaman serta membina jambatan untuk kerjasama yang lebih erat pada masa hadapan.

Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha dan kesungguhan UPSI sebagai penganjur dalam menjayakan forum bertaraf antarabangsa ini.

“Lokasi penganjuran yang strategik serta perancangan yang teliti mencerminkan komitmen universiti ini terhadap kecemerlangan akademik dan pembangunan global.

Beliau berkata demikian ketika hadir mengadakan kunjungan rasmi ke UPSI bersama delegasi negara itu dalam satu lawatan kerja yang bertujuan memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang pendidikan tinggi.

Delegasi Uzbekistan bergambar di pintu utama Kampus Sultan Azlan Shah UPSI, ketika mengadakan kunjungan rasmi ke universiti berkenaan

Antara aspek utama yang dibincangkan adalah penganjuran Forum Pendidikan Tinggi Malaysia dan Uzbekistan, pertukaran pelajar dan pensyarah, penyelidikan bersama serta inisiatif pembangunan program akademik yang berpotensi membawa manfaat jangka panjang kepada institusi pendidikan di Malaysia dan Uzbekistan.

Delegasi Uzbekistan turut diberi taklimat khas mengenai keupayaan dan kemudahan UPSI sebagai institusi pendidikan tinggi terkemuka negara serta meluangkan masa meninjau lokasi penganjuran Forum Pendidikan Tinggi Malaysia dan Uzbekistan yang dijadualkan berlangsung pada 4 Februari 2025 ini bertempat di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAS), UPSI.

“Melalui hubungan erat antara Malaysia dan Uzbekistan, khususnya dalam sektor pendidikan, penganjuran forum tersebut mampu memperkaya pengalaman akademik dan profesional kedua-dua negara,” ujar beliau.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselori (Akademik & Antarabangsa) UPSI, Prof Dr Abdul Rahim Razalli, menyatakan kesediaan universiti untuk memainkan peranan aktif dalam memacu hubungan akademik di peringkat antarabangsa.

Timbalan Menteri Luar Negeri Uzbekistan, H.E. Mr. Ilkhom Khaydarov ketika menandatangani buku pelawat ketika mengadakan kunjungan rasmi delegasi Uzbekistan ke UPSI.

Menurut beliau, penganjuran forum ini mencerminkan komitmen UPSI untuk terus memacu kecemerlangan pendidikan di peringkat antarabangsa.

“Forum ini merupakan platform penting untuk memacu dialog konstruktif antara kedua-dua negara, sekali gus memperkukuh hubungan kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi. Lawatan kerja ini juga menjadi langkah awal dalam menjayakan matlamat tersebut.

“Forum ini merupakan langkah signifikan dalam usaha mengukuhkan hubungan akademik antara Malaysia dan Uzbekistan.

“UPSI komited untuk menjadikan forum ini sebagai medan pertukaran idea dan inovasi dalam pendidikan tinggi.

Katanya, melalui pelbagai inisiatif yang dirancang, UPSI berupaya untuk terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pendidikan tinggi yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

“Kami menantikan perbincangan yang membuahkan hasil dan penubuhan perkongsian bermakna yang akan memberi manfaat bukan sahaja kepada institusi kami tetapi juga generasi masa depan kedua-dua negara,” ujar beliau.

Hadir sama Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia, H.E. Dr. Karomidin Gadoev; Pengarah Akademik & Antarabangsa UPSI, Prof Madya Dr. Ridzwan Che Rus; Dekan, Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi UPSI, Prof. Madya Dr. Ing Maizatul Hayati Mohamad Yatim; Dekan, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI, Prof Madya Dr. Mazura @ Mastura Muhammad; Timbalan Pengarah 2, Pusat Antarabangsa dan Mobiliti UPSI, Dr. Siti Nor Amalina Ahmad Tajuddin.