Oleh: Hirwisya Nurril Irwayu

Tanjong Malim, 20 Mei 2025 – Dalam usaha menyemarakkan kembali nilai dan falsafah pendidikan yang membentuk jiwa bangsa, Exco Akademik dan Kerjaya, Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh telah menganjurkan program Inspirasi Pendidikan Awang Had Salleh (IPAHS) yang telah berlangsung selama dua hari iaitu pada 15 dan 16 Mei 2025.

Program ini bukan sekadar penghargaan terhadap seorang tokoh besar dalam dunia pendidikan, tetapi juga medan untuk menyelami pemikiran dan perjuangan ilmiah Allahyarham Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Awang Had Salleh yang merupakan seorang sarjana yang sentiasa meletakkan ilmu, budaya serta jati diri bangsa di barisan hadapan.

Program ini turut menghimpunkan para ilmuwan, pendidik dan para mahasiswa/i Universiti Pendidikan Sultan Idris bagi menghargai dan menelusuri pemikiran tokoh pendidikan negara.

Majlis perasmian program IPAHS berlangsung pada 15 Mei 2025 dan disempurnakan oleh Pengetua Kolej Awang Had Salleh, Dr. Mardiana.

Semasa ucapannya, beliau menekankan bahawa program seperti Diskusi Buku dan Seminar perlu kerap dilaksanakan bagi membuka mata para mahasiswa dan mahasiswi tentang keindahan karya-karya tokoh terdahulu.

IPAHS dimulakan dengan sesi Diskusi Karya Awang Had Salleh yang mengetengahkan karya-karya utama termasuk buku-buku hasil tulisan serta kajian yang menyentuh aspek pendidikan, budaya dan pembangunan insan.

Antara buku yang dibincangkan ialah Warna Biru yang dibicarakan oleh Prof. Madya Dr. Ariff Mohamad, Pelajaran dan Perguruan Melayu di Malaysia dikupas oleh Dr. Raja Ahmad Shalaby Raja Hassan; manakala buku puisi Buat Menyapu Si Air Mata diulas oleh Dr. Hasrina Baharum.

Majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat turut dilaksanakan pada waktu malam hari pertama untuk dihadiahkan pahala amalan itu kepada roh Allahyarham.

Suasana penuh penghayatan menyelimuti Masjid Al-Mursyidin dengan bacaan yasin dan doa yang mengalir sebagai tanda kasih dan hormat terhadap seorang tokoh yang telah menyumbangkan seluruh hidupnya untuk kemajuan pendidikan bangsa.

Hari kedua diteruskan dengan Seminar Pemikiran Awang Had Salleh yang menjadi kemuncak program ini. Seminar ini mengetengahkan perlbagai pembentangan ilmiah yang merungkai pemikiran dan falsafah pendidikan beliau dari sudut sejarah, budaya dan pembangunan masyarakat.

Ucap utama disampaikan oleh Prof. Dr. Abdul Halim Ali yang menegaskan bahawa pemikiran Awang Had Salleh bukan hanya sesuai untuk masa lalu, tetapi amat diperlukan dalam merangka pendidikan masa depan yang lebih manusiawi dan bersifat inklusif.

Menurut beliau, Awang Had Salleh tidak pernah melihat pendidikan hanya dalam ruang kelas, tetapi sebagai satu ekosistem yang memerlukan sinergi antara ilmu, nilai dan tindakan.

Program IPAHS ini telah berjaya menggabungkan dua sisi penting dalam kehidupan seorang pendidik iaitu akal dan hati serta ilmu dan nilai. IPAHS bukan sahaja memperingati sosok sarjana terbilang tetapi juga menyeru generai baharu untuk mewarisi legasi beliau dengan penuh tanggungjawab.

Di tengah cabaran dunia pendidikan hari ini, gagasan dan falsafah Awang Had Salleh tampil sebagai cahaya yang membimbing. Semoga ilmu dan warisan beliau terus menyuburkan lagi tanah air tercinta dalam bidang pendidikan.