Oleh: Muhammad Syafiq Razali & Anis Suraya Muhammad

Kuantan, 26 Mei 2025 – Seramai 31 orang mahasiswa Persatuan Geografi (PERGEO), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyertai sebuah program akademik berimpak tinggi di Kuantan, Pahang, yang berlangsung dari 23 hingga 25 Mei lalu. Program ini memberi fokus kepada penerokaan aktiviti fizikal dan budaya serta kajian terhadap perubahan pandang darat budaya di kawasan berkenaan.

Dengan menjadikan landskap Kuantan sebagai medan pembelajaran terbuka, para peserta berpeluang menelusuri kesan pembangunan terhadap struktur guna tanah, kepelbagaian budaya setempat dan aktiviti ekonomi yang menyumbang kepada perubahan corak ruang bandar dan luar bandar.

Sepanjang program, pelajar telah menjalankan aktiviti seperti pemerhatian lapangan, temu bual bersama penduduk tempatan, serta dokumentasi visual untuk menganalisis secara langsung hubungan antara faktor fizikal dan budaya dalam pembentukan landskap geografi.

Antara kawasan tumpuan termasuklah lokasi pesisir pantai, pusat bandar yang mengalami pembangunan pesat, dan perkampungan tradisional yang masih mengekalkan identiti budaya. Kajian ini membolehkan peserta memahami impak pelancongan, perbandaran, dan perubahan sosial terhadap alam sekitar dan warisan budaya tempatan.

Menurut ketua program, pendekatan ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan ilmu teori secara praktikal sambil membina pemikiran kritikal, empati sosial dan kepekaan terhadap isu kelestarian. “Program ini bukan sekadar lawatan akademik, tetapi suatu bentuk penghayatan terhadap bagaimana manusia dan alam saling mempengaruhi dari segi struktur, fungsi, dan makna dalam ruang geografi,” katanya.

Selain menambah nilai kepada pemahaman akademik, program ini turut memperkukuh kemahiran insaniah mahasiswa seperti kerjasama, komunikasi berkesan dan kepimpinan selaras dengan matlamat UPSI dalam melahirkan pendidik yang berdaya saing dan berpaksikan komuniti.

Kejayaan program ini diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) pada masa akan datang, khususnya dalam memupuk minat terhadap bidang geografi dalam kalangan generasi muda.