Oleh: Shendah Jahan

TANJONG MALIM: Juline Ulana, 25, yang baru sahaja menamatkan pengajiannya pada November lalu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memilih untuk tidak balik ke kampung halamannya selepas menamatkan pengajiannya kerana mempunyai masalah kewangan. Walau bagaimanapun masalah yang dialami oleh Juline Ulana ini dimanfaatkan oleh beliau dengan berkerja di perantauan untuk membuat simpanan bagi persiapan hari graduasinya.

Juline Ulana merupakan anak ke sembilan daripada sembilan beradik. Beliau berasal dari sebuah kampung yang jauh di pedalaman iaitu Kampung Pularai Ulu Sugut Ranau, Sabah. Beliau mengatakan bahawa beliau berlatar belakangkan daripada keluarga yang tidak mewah dan dalam golongan B40. Ibu bapa beliau berkerja sebagai petani di kampung dan tida mempunyai pendapatan tetap.

Juline Ulana menjelaskan bahawa latar balakang beliau dan keuarganya serta masalah yang dihadapinya selepas sahaja menamatkan pengajiannya itu tidak menjadi penghalang bagi beliau untuk membuat simpanan kerana beliau ingin membawa kedua ibu bapanya terbang dari bumi Sabah ke Bumi Mualim pada hari graduasinya. Beliau juga berkongsi pengalaman beliau selepas menamatkan pengajiannya dengan melakukan dua jenis pekerjaan dalam waktu sehari iaitu pada waktu siang, beliau berkerja di sebuah hotel sebagai housekeeper dan juga sebagai penyambut tetamu. Manakala pada waktu malam pula beliau akan menyambung pekerjaan beliau di sebuah restoran. “Saya selalunya habis berkerja pada waktu malam dan kadang ia akan mempengaruhi kesihatan tubuh saya ketika berkerja,” jelasnya lagi.

Sebagai seorang pelajar perantauan, terdapat banyak cabaran yang dihadapi untuk membuat persiapan bagi hari graduasinya. Antara cabaran yang dihadapi semasa berkerja pada siang hari adalah beliau akan mengayuh basikal ke tempat kerjanya yang mengambil masa selama 20 minit pergi dan balik. Juline Ulana menjelaskan alasan beliau menggunakan basikal setiap hari ke tempat kerjanya kerana ingin berjimat dan tidak mahu meningkatkan penggunaan kewangannya dengan menaiki perkhidmatan prebet. Selain itu, cabaran yang dihadapi adalah beliau perlu berhenti kerja dan balik ke kampung halaman lebih awal daripada perancangannya kerana perlu menjaga ayahnya yang sedang sakit.

Kini, Juline Ulana sudah berjaya menempuhi waktu-waktu sukarnya selepas menamatkan pengajiannya dan telah meraihkan hari graduasinya dengan bangga walaupun perlu menghadapi dugaan berat, kehilangan seorang ayah tersayang sehari sebelum hari bergraduasi. Juline Ulana menyampaikan nasihat bagi mahasiswa dan mahasiswi yang masih lagi berjuang dan yang tidak lama lagi akan menamatkan pengajian untuk kekal semangat dan sentiasa melakukan yang terbaik walau apa pun yang berlaku sepanjang tempoh berkuliah.

“Jangan takut untuk mencuba sesuatu yang memberi maanfaat kepada diri kita. Ingat matlamat utama semasa berkuliah dan ingat orang-orang yang kita sentiasa sayang terutama ibu bapa agar lebih bersemangat untuk melakukan yang terbaik dan dapat membanggakan mereka suatu hari nanti,” katanya.

Juline Ulana berharap agar benih-benih yang ditanamnya semasa dan selepas berkuliah akan banyak berbuah dan berharap agar mahasiswa yang masih berjuang untuk tetap bersemangat dan seterusnya mendapat keputusan yang cemerlang serta menamatkan pengajian dengan jayanya.