Oleh: Cik Adibah Yasmin Abdul Razak

Tanjong Malim, 24 Januari 2025 – WEZAS telah diberi peluang untuk menjayakan program Thalatha Tis’a dengan mewakafkan 33 naskah Al-Quran.

Program ini merupakan inisiatif istimewa anjuran National Child Development Research Centre (NCDRC) Bersama Pusat Ulul Albab, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang bertujuan mendidik kanak-kanak seawal usia tiga tahun untuk menghafaz al-Quran, sebuah pendekatan unik yang menjadi kesinambungan kepada program Ulul Albab di peringkat nasional.

Sebagai tanda sokongan, WEZAS telah menyumbangkan wakaf al-Quran untuk kegunaan bakal hafiz dan hafizah cilik dalam program ini.

Langkah ini diharap menjadi saham akhirat, membantu generasi muda mendalami al-Quran sejak usia muda. Menurut Pembangun Kurikulum dan Modul Thalatha Tis’a, PM Dr. Norazilawati Abdullah, proses mendidik kanak-kanak seawal usia tiga tahun untuk menghafaz al-Quran bukanlah sesuatu yang mudah.

Cabaran yang mereka hadapi bukan sahaja menguji kesabaran, malah memerlukan kreativiti dan pendekatan yang bersesuaian dengan usia anak-anak kecil tersebut.

“Bayangkan anak-anak kecil berusia tiga tahun yang ceria, lincah, dan penuh tenaga. Sudah lumrah anak kecil bergerak aktif dan girang, ada yang memanjat meja kecil dengan tangan comel mereka, ada pula yang bergayut manja di leher guru.

“Namun, di sebalik keriangan itu, bibir mereka tetap lancar melafazkan ayat-ayat suci al-Quran tanpa henti,” ujar Dr. Norazilawati, menggambarkan suasana dengan penuh semangat.

Kecekalan para guru yang sabar mendidik dan sokongan padu ibu bapa menjadi kunci, membuktikan bahawa impian besar mampu digapai walaupun bermula dengan langkah kecil.

Semoga program Thalatha Tis’a menjadi platform melahirkan generasi yang bukan sahaja mahir dalam hafazan al-Quran tetapi juga mampu menjadi insan yang berakhlak mulia, seperti mana yang diimpikan dalam usaha melahirkan masyarakat Ulul Albab.