Oleh: Muhammad Arif Izwan Jawadi
TANJONG MALIM, 25 April 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Pusat Kajian Inklusif bagi Komuniti dan Orang Kurang Upaya (CIRCLE) terus memperkukuhkan komitmen dalam bidang pendidikan khas dan inklusif apabila berjaya menganjurkan Program Bicara Pendidikan bertajuk “Adaptive Inclusive Education Roadmap into Malaysian Context” bersama pakar antarabangsa dari University of Minnesota, Amerika Syarikat.
Program yang diadakan selama dua hari ini, melibatkan dua sesi utama yang berlangsung pada 23 April bertempat di Bilik Mesyuarat Sekolah Rendah Suluh Budiman dan 25 April di Dewan Kuliah Pusat 2 (DKP2), UPSI.
Penganjuran ini mendapat kerjasama erat daripada pihak Sekolah Rendah Seri Budiman, sekali gus memperlihatkan keterlibatan langsung sekolah dalam memacu pendidikan inklusif di peringkat akar umbi.



Delegasi University of Minnesota yang diketuai oleh Pengarah TIES Center, Institute of Community Integration, Professor Dr. Kristin Liu dan Penolong Pengarah TIES Center serta Penyelidik di University of Minnesota, Dr. Jessica Bowman membawakan wacana akademik bertaraf antarabangsa dalam bidang pendidikan khas.
Sesi pertama mengetengahkan pembentangan Professor Dr. Kristin Liu mengenai Inclusive Assessment: Ensuring Students with Disabilities Count, yang menekankan kepada amalan penilaian inklusif di Amerika Syarikat termasuklah perundangan, strategi bilik darjah dan alternatif penilaian untuk pelajar berkeperluan khas.
Professor Dr. Kristin turut berkongsi strategi pengajaran untuk pelajar yang berstatus dwibahasa dan mempunyai keperluan khas, di bawah topik Inclusive Education and Multilingual Learners with Disabilities.
Sesi kedua pula menampilkan Dr. Jessica Bowman yang membincangkan pendekatan Universal Design for Learning (UDL) dalam kurikulum umum, yang menekankan bagaimana reka bentuk pengajaran yang inklusif mampu mengurangkan halangan dalam proses pembelajaran.
Beliau turut menerangkan pendekatan integratif dalam menggabungkan teknik pengajaran matematik untuk pelajar berkeperluan khas melalui sesi bertajuk Inclusive Education and Mathematics.
Inisiatif ini memperkenalkan projek Inclusive Education Roadmap (IER) yang dikembangkan oleh TIES Center dan kini sedang diadaptasikan ke dalam konteks pendidikan Malaysia dengan sokongan dan kerjasama CIRCLE, UPSI.
Pendekatan ini diharapkan dapat menjadi panduan komprehensif kepada pihak sekolah dalam memperkasa amalan pendidikan inklusif yang responsif terhadap keperluan tempatan.
Dalam ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh wakil pengurusan UPSI, program ini diharapkan menjadi pemangkin kepada jalinan kerjasama antarabangsa dalam membangun dasar, amalan serta inovasi pendidikan khas yang lebih mantap di Malaysia.
CIRCLE juga menyatakan komitmen padu untuk meneruskan agenda penyelidikan dan advokasi dalam pendidikan inklusif demi memastikan tiada murid yang tercicir daripada arus pendidikan arus perdana.
Program yang dihadiri oleh lebih 50 orang peserta yang terdiri daripada ahli akademik dan pelajar ini turut membuka ruang kepada perbincangan interaktif dan pertukaran idea, sekali gus memperkaya perspektif peserta mengenai amalan terbaik dari peringkat antarabangsa.
Penganjuran program ini sekali gus memperkukuhkan lagi peranan UPSI, menerusi CIRCLE, sebagai peneraju dalam bidang pendidikan khas dan inklusif di peringkat nasional dan antarabangsa.