Oleh: Nur Shazwani Yunus

TANJONG MALIM, 10 Ogos — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meraih pingat gangsa dalam acara ragbi wanita pada Kejohanan Varsity Team Championship (VTC) 2025 yang berlangsung di sekitar Kompleks Sukan, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) di sini.

Kejohanan anjuran Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) itu melibatkan tiga jenis sukan iaitu bola jaring, hoki dan ragbi dengan penyertaan kontinjen UPSI terdiri daripada 88 atlet serta 15 pegawai.

Majlis penutup kejohanan yang diadakan di Kolej Za’ba di sini dihadiri lebih 300 atlet, pengurus dan pegawai.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi, Dr Hanafiah Ayub; Pengetua Kolej Za’ba, Yusof Ahmad yang mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI; serta Pengerusi Jawatankuasa Kecil Teknikal dan Pertandingan MASUM, Mohd Razlan Shah Mohammad Rabbi.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI berkata, pihaknya berbangga dengan komitmen dan semangat juang yang ditunjukkan oleh kontinjen sepanjang kejohanan.

“Kejayaan meraih pingat gangsa ini adalah bukti bahawa atlet UPSI mampu bersaing di peringkat nasional. Namun lebih penting, mereka telah mempamerkan disiplin, nilai murni, integriti dan kerjasama berpasukan yang tinggi,” katanya.

Beliau turut menyeru kontinjen UPSI untuk menjadikan pengalaman di kejohanan ini sebagai landasan memperkukuh persediaan menghadapi saingan akan datang.

“Setiap perlawanan adalah medan pembelajaran. Kita mahu atlet UPSI terus melangkah lebih jauh, bukan sahaja dalam arena sukan, tetapi juga sebagai duta universiti yang membawa nama baik UPSI,” katanya.