TANJONG MALIM, 24 Ogos – Jabatan Mahkamah Syariah Negeri Perak dipilih sebagai tuan rumah Multaqa Mahkamah Syariah 2025 (MUM’S 2025) yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dari 21 hingga 24 Ogos.

Majlis perasmian diadakan pada 22 Ogos di Stadium UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah, dan disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan.

Beliau dalam ucapannya berkata penganjuran MUM’S memberi nilai tambah bukan sahaja dalam memupuk ukhuwah sesama warga kehakiman syariah, malah turut memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap peranan institusi kehakiman syariah di Malaysia.

“Multaqa ini menjadi medan penting untuk kita memperkukuh silaturahim, meningkatkan profesionalisme dan menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan pegawai serta kakitangan Mahkamah Syariah di seluruh negara,” katanya.

Majlis penutup pula berlangsung pada 23 Ogos di Dewan Tuanku Canselor (DTC), UPSI, yang dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Menurut Saarani, pemilihan Perak sebagai tuan rumah membuktikan keyakinan terhadap keupayaan negeri itu menganjurkan program berskala nasional.

“Kerajaan negeri berbangga menjadi tuan rumah kerana acara ini bukan sahaja mempererat ukhuwah, malah menyumbang kepada aspek kesihatan, kecergasan dan kesejahteraan warga kehakiman syariah,” katanya.

Majlis Penutup MUM’S 2025

Lebih 1,000 peserta terlibat termasuk Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Ketua Hakim Syarie negeri-negeri, pegawai syariah serta kakitangan kumpulan sokongan yang mewakili 15 pasukan dari 14 negeri.

Sebanyak 18 acara sukan dipertandingkan sepanjang penganjuran kali ini. MUM’S seterusnya dijadualkan berlangsung di Kelantan pada 2027.