Oleh: Nazirul Haizri
CHINA, 10 September 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Alumni melakar sejarah baharu apabila menganjurkan Majlis Perasmian Rangkaian Alumni UPSI – Hanjiang Normal University, China yang berlangsung serentak di Pusat Alumni UPSI dan Pusat Alumni Hanjiang Normal University.
Majlis ini dianjurkan dengan objektif utama untuk memperkukuh dan mengeratkan hubungan silaturahim antara kedua-dua institusi melalui jaringan alumni, di samping membentuk kerjasama strategik yang berimpak positif. Selain itu, program ini turut memberi tumpuan kepada usaha mengumpul dan mengemas kini data alumni, mempromosikan pelbagai program khusus untuk alumni, serta membuka ruang bagi memperoleh sokongan dan penajaan daripada institusi berkaitan. Usaha ini sekali gus memperkukuh imej UPSI di peringkat antarabangsa melalui penglibatan aktif jaringan alumninya.


Turut hadir memeriahkan majlis ialah Dr. Omar Firdaus Mohd Said, Pengarah Pusat Alumni UPSI, Dr. Lee Hoi Yeh, Timbalan Pengarah Pusat Alumni UPSI, Hu Jiang Tao, Pengarah Pusat Alumni Hanjiang Normal University serta Chao Yang, Ketua Jabatan merangkap Penolong Tadbir dari Hanjiang Normal University.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan daripada Pengarah Pusat Alumni UPSI, diikuti dengan sesi pertukaran cenderamata sebagai simbolik ikatan persahabatan dua hala. Seterusnya, sesi dialog alumni diadakan bagi membincangkan peluang kerjasama strategik, sebelum majlis diakhiri dengan sesi bergambar rasmi sebagai kenangan bersejarah.
Penganjuran program ini memberi impak signifikan dalam mengukuhkan hubungan diplomasi pendidikan antara UPSI dan Hanjiang Normal University, selain membuka ruang kerjasama dua hala dalam bidang akademik, penyelidikan, budaya dan jaringan profesional. Ia juga meningkatkan pengiktirafan antarabangsa terhadap peranan alumni UPSI sebagai duta universiti di peringkat global.
Melalui majlis ini, UPSI berharap jaringan antarabangsa yang terjalin akan menjadi pemangkin kepada penganjuran aktiviti susulan yang lebih meluas serta berimpak tinggi, sekali gus memperkukuh nama universiti dalam arena pendidikan global.