“Peserta lawatan bergambar kenangan di Segar Hidroponik Mini Farm, Felda Sungai Tengi.”“Peserta lawatan bergambar kenangan di Segar Hidroponik Mini Farm, Felda Sungai Tengi.”

Oleh: Nurhanie Mahjom

Photo : Noraini Aminuddin

Tanjong Malim, 29 September 2025  – Pernahkah kita terfikir, sejauh mana kita benar-benar bersedia untuk berdikari dalam kehidupan seharian? Pada 26 September 2025, para pensyarah (merangkap perunding projek Komuniti@UniMADANI 2025) Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (FPE, UPSI) telah melawat Segar Hydroponic Mini Farm di Felda Sungai Tengi.

Kami telah berpeluang melihat sendiri ilmu ikhtiar hidup (pertanian) yang boleh dipelajari dan meningkatkan pengamalannya dalam bentuk yang mudah tetapi memberi kesan besar.

Di kebun hidroponik mini milik En. Zulali ini, kami diperkenalkan dengan cara menanam sayuran tanpa tanah, teknik penjagaan tanaman yang lebih sistematik dan mesra alam, serta bagaimana hasilnya boleh menjadi sumber makanan sihat untuk keluarga.

Walaupun kelihatan ringkas, pengalaman ini mengingatkan kami bahawa ilmu asas seperti ini amat penting untuk semua lapisan masyarakat.

Ilmu ikhtiar hidup relevan kepada semua peringkat umur. Kanak-kanak boleh mula dengan aktiviti mudah seperti menanam sawi atau kangkung dalam botol plastik terpakai.

Pengusaha ladang berkongsi ilmu tentang teknik asas tanaman hidroponik yang mudah dan praktikal.
Interaksi santai peserta bersama pengusaha

Remaja pula boleh mencuba kaedah hidroponik berskala kecil di rumah menggunakan paip PVC atau bekas takungan.

Bagi orang dewasa, inisiatif ini boleh menjadi asas kepada sumber pendapatan sampingan, misalnya menjual hasil sayuran segar kepada jiran.

Warga emas pula boleh menjadikannya aktiviti riadah yang menyihatkan dan pada masa sama mengurangkan kos dapur harian.

Menurut En. Zulali, pengusaha di Segar Hidroponik Mini Farm, “Tanaman yang diusahakan haruslah menggunakan strategi yang betul agar dapat hasilkan tanaman yang segar dan selamat untuk dimakan serta boleh dijadikan sumber pendapatan kerana hasilnya yang premium.”

Beliau juga percaya setiap orang boleh belajar bercucuk tanam, walaupun di halaman rumah yang kecil. Hidroponik ini mudah, bersih, dan hasilnya cepat dituai.

Apa yang penting ialah kesungguhan untuk mencuba. Kata-kata ini memberi inspirasi bahawa usaha kecil yang konsisten mampu membawa perubahan besar.

Dr. Normala Zulkifli, salah seorang peserta lawatan dari FPE ini turut berkongsi pandangan, “Saya tak sangka menanam sayur sendiri tidaklah sesukar yang dibayangkan.

Melihat sayur yang segar ini sahaja, dapat menyeimbangkan tekanan yang dihadapi. Selepas pulang nanti, saya mahu cuba tanam salad menggunakan bekas plastik di rumah.”

Testimoni seperti ini membuktikan bahawa ilmu ikhtiar hidup boleh terus dipraktikkan walaupun dengan ruang dan sumber yang terhad.

Hakikatnya, ikhtiar hidup bukanlah hanya tentang bertahan di saat sukar, tetapi juga tentang membentuk gaya hidup yang lebih seimbang dan berdikari.

Lawatan singkat ke Felda Sungai Tengi membuktikan, jika ilmu ini dipupuk sejak awal, masyarakat kita akan lebih bersedia menghadapi cabaran serta lebih menghargai nilai kehidupan.

Mulakan dengan langkah kecil – tanam sebatang cili, sepasu serai, atau beberapa pokok salad – kerana dari situlah benih kemandirian dan kelestarian akan tumbuh.