Oleh : Nur Asyiqin Zainon
TANJONG MALIM, 26 MEI – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Exco Kesenian Dan kebudayaan, Majlis Mahasiswa Kediaman Luar Kampus (MMKLK) telah menganjurkan program Webinar : Harmonies Among Asians Through Cultural Similarities yang berlangsung secara maya dengan menggunakan platform Google Meet dan UKLK social media live pada 24 Mei 2025.
Tujuan utama program ini dilaksanakan adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang persamaan budaya yang wujud, memupuk perpaduan sosial dan mendalami pemahaman terhadap warisan budaya bersama antara negara-negara Asia Tenggara, termasuk nilai kekeluargaan, adat resam, dan tradisi yang telah lama menjadi nadi kehidupan masyarakat serantau.
Negara-negara di Asia Tenggara berkongsi begitu banyak persamaan budaya seperti nilai kekeluargaan, adat resam, hingga warisan seni yang saling melengkapi. Persamaan inilah yang menjadikan kita sebagai satu masyarakat serantau yang unik, dihormati, dan penuh harmoni.



Kita mungkin berbeza negeri, tetapi budaya menyatukan kita sebagai satu keluarga serumpun yang menjadi teras kepada penganjuran program ini untuk merungkai keindahan budaya yang dikongsi bersama.
Program ini telah dikendalikan dengan penuh tertib oleh Netelie Nuil selaku pengacara majlis yang memastikan kelancaran dari awal hingga akhir sesi webinar ini berjalan dengan lancar.
Sementara itu, peranan sebagai pengarah program telah digalas dengan jayanya oleh Marcedolly Majin, yang mengetuai keseluruhan pelaksanaan program ini dengan dedikasi tinggi bersama ahli jawatankuasa yang komited untuk melaksanakan program ini.
Pengarah IMAc, Prof. Dr. Ramlee turut bersama hadir secara maya untuk menyampaikan ucapan perasmian dan sekaligus merasmikan program Webinar : Harmonies Among Asians Through Cultural Similarities.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyentuh secara mendalam tentang kepentingan budaya sebagai titik temu serantau di tengah-tengah cabaran global masa kini seperti perubahan iklim, geopolitik dan krisis identiti.


Beliau turut menzahirkan harapan agar webinar ini bukan sahaja melahirkan ilmu baharu, tetapi juga semangat kerjasama merentas sempadan budaya dalam membentuk satu wajah Asia yang harmoni dan bersatu hati.
“Saya percaya, daripada perbincangan hari ini, bukan sahaja lahir pengetahuan baharu, tetapi juga semangat untuk bekerjasama melebihi batas sempadan dan latar belakang.
“Inilah wajah ASEAN yang kita ingin bentuk dimana satu ASEAN yang bersatu hati melalui budaya dan nilai yang dikongsi bersama.” ujar beliau.
Seterusnya, sesi webinar ini diambil alih secara profesional oleh Irdina Wafa Zulkifli, yang memainkan peranan penting dalam memastikan aliran forum berjalan dengan lancar dan menghidupkan interaksi antara panel dan peserta.
Para peserta telah dibawa meneroka empat pusingan perbincangan yang saling berkait bermula dengan penerokaan asas dan kesamaan budaya, diikuti pendidikan dan perpaduan, teknologi dan dokumentasi budaya, dan diakhiri dengan peranan budaya dalam hubungan serantau.
Webinar ini mempertemukan suara budaya dari tiga cendekiawan mewakili Malaysia, Indonesia, dan Brunei Darussalam yang masing-masing berkongsi pandangan berdasarkan kepakaran dalam bidang muzik dan seni persembahan, psikologi sosial, dan kesusasteraan melayu.
Ketiga-tiga panel telah berkongsi pandangan yang bernas dan membina dalam membincangkan topik budaya sebagai pengikat keharmonian serantau.
Wakil dari Malaysia dan selaku panel pertama iaitu Dekan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, UPSI Prof. Madya Dr. Muhammad Fazli Taib Saearani, yang berpengalaman luas dalam seni muzik dan seni persembahan tradisional.


“Beliau menggariskan bahawa teknologi digital merupakan alat yang sangat berguna untuk mendokumentasikan dan menyebarluaskan warisan muzik Asia Tenggara, terutamanya kepada generasi muda yang semakin jauh daripada pendedahan secara langsung kepada muzik tradisional.
“Teknologi ini membolehkan generasi muda sekarang untuk mempelajari dan mengaplikasikan minat akan budaya yang terdapat dalam negara kita.”
Panel kedua dari Indonesia, Dekan Fakulti Psikologi di Universitas Mercu Buana Yogyakarta, Dr. Reny Yuniasanti dan pakar dalam bidang psikologi sosial.
Beliau memberikan fokus kepada peranan pertukaran budaya dalam membentuk kesejahteraan mental dan identiti individu.
Beliau menjelaskan bahawa interaksi rentas budaya membuka ruang kepada pengalaman baharu, meningkatkan motivasi dan memberikan kesan positif terhadap emosi serta jati diri seseorang.
“Pertukaran budaya mewujudkan pengalaman baru dan interaksi sosial yang sihat. Apabila seseorang belajar budaya lain walaupun ada persamaan, mereka juga menemui perbezaan yang membuatkan mereka rasa unik dan dihargai. Perasaan inilah yang menyumbang kepada kesejahteraan mental dan rasa bangga terhadap identiti sendiri.”
Sementara itu, Dr. Maslin Haji Jukin dari Universiti Brunei Darussalam, selaku Ketua Program Sastera Melayu dan panel ketiga mengupas kepentingan cerita rakyat dalam mengekalkan identiti budaya.
“Umumnya, setiap negara mempunyai cerita rakyat yang terdiri daripada mitos, lagenda dan sejarah yang membawa fungsi tertentu.
“Banyak persamaan yang kita kongsi bersama seperti cerita rakyat yang mengisahkan binatang yang membawa nilai dan maksud yang sama untuk mengukuhkan budaya walaupun kita berpisah geopolitik tapi nilai ini menguatkan masyarakat untuk hormat-menghormati.”
Secara keseluruhannya, Webinar: Harmonies Among Asians Through Cultural Similarities telah berjaya menjadi sebuah platform dinamik yang mempertemukan suara budaya dari Malaysia, Brunei, dan Indonesia.
Program ini bukan sahaja membuka ruang diskusi ilmiah tentang warisan budaya negara-negara di Asia Tenggara, tetapi juga menjadi bukti bahawa budaya ialah jambatan paling kuat untuk membina keharmonian serantau.
Dari penceritaan rakyat hingga ke pentas digital, budaya kita saling bersentuhan dan mengikat kita sebagai satu komuniti Asia Tenggara yang kaya, harmoni, dan bersatu.
