Tanjung Malim, 16 Februari 2025– Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Persatuan Sains Pertanian, Fakulti Teknikal dan Vokasional telah menganjurkan program UPSI International Coconut Planting Project: Rooted in Sustainability di Tasik Utama Marina UPSI hari ini. Program ini bertujuan untuk memupuk kesedaran mengenai kepentingan kelestarian alam sekitar melalui penanaman kelapa pandan.

Program yang melibatkan pelajar Persatuan Sains Pertanian, pelajar antarabangsa, serta kakitangan Jabatan Sains Pertanian UPSI ini berjaya menanam sebanyak 115 anak pokok kelapa pandan. Selain itu, peserta turut didedahkan kepada kaedah penanaman yang betul bagi memastikan pokok dapat tumbuh dengan baik dan memberi hasil yang optimum pada masa hadapan.

Program yang telah dirasmikan oleh Ketua Jabatan Sains Pertanian, Ts. Dr. Fazhana Ismail merupakan salah satu program yang mendokong kepada kelestarian alam sekitar. Menurut Pengarah Program, Muhamad Najmi M.Nashir , program ini bukan sahaja menggalakkan amalan pertanian lestari, tetapi juga memberi peluang kepada peserta untuk memahami kepentingan penanaman kelapa sebagai sumber ekonomi dan persekitaran yang lebih hijau.

Salah seorang peserta antarabangsa, Raisul dari Bangladesh, meluahkan rasa teruja dapat menyertai aktiviti ini. “Ini merupakan pengalaman pertama saya menanam kelapa. Saya belajar banyak perkara baharu tentang teknik pertanian dan berharap dapat mengaplikasikannya di negara saya nanti,” katanya.

Program ini diharapkan dapat menjadi satu langkah positif dalam usaha UPSI untuk memperkukuh kesedaran tentang kelestarian alam sekitar serta kepentingan pertanian mampan dalam kalangan pelajar dan komuniti universiti.