TANJONG MALIM, 26 Mac 2025 – Bengkel Training of Trainers (ToT) PEKERTI UPSI yang telah diadakan semalam di Bilik Seminar, Pusat Pelajar berjaya menarik penyertaan ramai dan memberi manfaat kepada para peserta.
Bengkel ini dianjurkan oleh Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) dengan kerjasama Pusat Kaunseling, Pusat Kesihatan UPSI dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bertujuan memberi pendedahan serta kemahiran kepada peserta berhubung pendidikan kesihatan sosial dan reproduktif (SRHE) yang akan disebarluas khususnya kepada mahasiswa-mahasiswi di UPSI.
Seramai 40 orang peserta telah menghadiri bengkel selama satu hari ini, yang terdiri daripada kakitangan akademik, pengurusan dan profesional serta kakitangan pelaksana daripada pelbagai pusat tanggungjawab di UPSI.
Bengkel ini dikendalikan oleh Puan Logarani Mathivanan dan Puan Azlin Nadzirah Jamaluddin, yang merupakan pegawai kaunseling berpengalaman daripada LPPKN.

Sepanjang bengkel, para peserta diberi peluang untuk mengikuti sesi teori, latihan praktikal dan perbincangan dalam kumpulan.
“Bengkel ini sangat membantu saya dalam memahami konteks pendidikan seksualiti serta penyakit bawaannya seperti AIDS dengan lebih mendalam, dan saya berasa lebih yakin untuk membantu UPSI dalam memberi kefahaman ini kepada para pelajar agar mereka lebih menjaga jati diri serta faham akan risiko yang bakal ditanggung.” ujar salah seorang peserta, Dr. Abu Zarrin Selamat.


Pengetua UKLK, Profesor Madya Ts. Dr. Che Ghani Che Kob turut menyatakan rasa puas hati terhadap sambutan yang diterima.
“Kami sangat gembira melihat peserta begitu berminat dan aktif dalam sesi ini. Kami berharap para peserta yang telah diberikan latihan ini akan dapat membantu dalam menyebarluaskan pengetahuan yang telah diperolehi daripada bengkel kepada seluruh mahasiswa UPSI,” katanya.
Bengkel ini berakhir dengan sesi penyampaian cenderahati oleh Ketua Timbalan Pendaftar Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPSI, Puan Maskana Ahmad kepada para penceramah.

(Barisan hadapan, dari kiri) Dr. Norziha Abd Hamid, Puan Maskana Ahmad,
PM Ts. Dr. Che Ghani Che Kob, Dr. Abu Zarrin Selamat
Dengan kejayaan penganjuran bengkel ini, diharapkan lebih banyak inisiatif seperti ini dapat diteruskan untuk memperkasakan ilmu dan kemahiran pendidikan kesihatan sosial dan reproduktif dalam kalangan masyarakat umumnya serta di kalangan mahasiswa-mahasiswi UPSI khususnya.